PETALING JAYA: Sejak 20 tahun lalu, dianggarkan lebih 20 syarikat pengusaha bas di negara ini gulung tikar kerana gagal menampung kos operasi yang meningkat sedangkan keuntungan mereka semakin menguncup.

Malah, kerugian jutaan ringgit dianggarkan berlaku kesan daripada penutupan syarikat berkenaan yang menjadi nadi penggerak ekonomi di sesuatu kawasan khususnya pedalaman.


Bimbang dengan keadaan itu, Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) menggesa kerajaan mewujudkan Polisi Pengangkutan Awam Negara dalam usaha membantu pengusaha bas meningkatkan perkhidmatan mereka.

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, polisi berkenaan dapat mengembalikan semula kepercayaan pengguna terhadap khidmat pengangkutan awam sekali gus menjana pendapatan pengusaha.

“Pengusaha memerlukan satu polisi yang tetap dan tidak berubah-ubah seperti yang berlaku kini. Ia penting supaya pengguna tahu apa mereka boleh harapkan dengan perkhidmatan kami, pengusaha pula tahu apa perlu dilakukan dan pihak berkuasa tahu apa mereka perlu laksanakan.

“Kini pengangkutan awam menjadi masalah kedua terbesar negara, dan perkhidmatannya jauh terkebelakang berbanding negara lain. Bagaimana kami hendak fokus dalam memberikan perkhidmatan terbaik sekiranya sesuatu dasar akan berubah mengikut pertukaran menteri (Menteri Pengangkutan),” katanya pada sidang medianya bersama Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) bagi mendesak kerajaan memberi tumpuan meningkatkan sistem pengangkutan awam, di sini, semalam.

Menurutnya, keengganan kerajaan membantu pengusaha dengan mewujudkan polisi berkenaan dilihat tidak akan mengubah persepsi masyarakat kini memandang rendah terhadap perkhidmatan pengangkutan itu.

Katanya, kerajaan perlu mempunyai keinginan mengubah persepsi masyarakat menggunakan bas hanya untuk golongan susah bagi membolehkan perkhidmatan itu mendapat sambutan dan pengusaha mampu meneruskan operasi.

“Jika persepsi ini tidak diubah, sebagai pengusaha kami tidak akan mempunyai penumpang dan boleh gulung tikar kerana kurangnya permintaan daripada pengguna.

“Pengguna akan menyalahkan kami kerana keadaan bas yang teruk dan perkhidmatan lemah, namun mereka tidak tahu bagaimana kami mahu melaburkan modal membaiki kelemahan sekiranya pulangannya tidak menentu kerana perlu bersaing dengan banyak syarikat lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak kerajaan supaya memberhentikan pemberian permit bagi membolehkan pengusaha sedia ada terus beroperasi.