PETALING JAYA 25 Okt — Orang ramai perlu diserapkan dengan kempen kesedaran bagi mengikis “mentaliti subsidi” daripada diri mereka.


Langkah itu akan menjadikan mereka tidak mudah goyah dalam mengharungi kelembapan ekonomi, kata Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu hari ini.


Beliau berkata sungguhpun aspek itu tidak diberi penekanan dalam pembentangan bajet baru-baru ini, gabungan itu bagaimanapun berharap peruntukan akan diwujudkan bagi mengadakan program seperti itu di seluruh negara.


Katanya subsidi sepatutnya hanya tertumpu kepada golongan miskin serta terpinggir dan memastikan sebuah jaringan keselamatan sosial yang berkesan, sambil menambah bantuan kepada golongan miskin tegar perlu merangkumi kemasukan ke hospital, faedah pengangguran, pencen bulanan, elaun pengangkutan dan pinjaman khas perumahan.


Mengulas mengenai Bajet 2010, Marimuthu berkata belanjawan itu tidak menekankan kepada jaminan keselamatan makanan jangka panjang meskipun negara mudah terdedah kepada krisis makanan, seperti dalam kes beras tahun lepas.


Mengenai kad kredit, Marimuthu berkata gaji minimum RM1,500 bagi melayakkan diri untuk memiliki kad itu perlu dikuatkuasakan dengan tegas.


Beliau berpendapat mengenakan caj ke atas pengguna sebanyak RM50 setahun bagi setiap kad adalah tidak adil kerana kempen pemasaran agresif pihak bank tidak terbatas, terutamanya membabitkan golongan belia.


Menyentuh tentang pengangkutan awam, beliau berkata pengangkutan awam yang bersepadu perlu diberi keutamaan di peringkat kebangsaan, bukan hanya tertumpu kepada Kuala Lumpur sahaja.