Mudah kesan kes alam sekitar

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mewujudkan sistem pangkalan data bahan kimia dan bahan mentah supaya segala maklumat mengenainya, pengeluar, pengguna dan operasi keluar masuk bahan berkenaan di negara ini dapat dikesan secara menyeluruh.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), Piarapakaran Subramaniam, berkata bahan kimia adalah berbahaya kepada masyarakat jika disalah gunakan dan oleh itu, maklumat mengenai pengeluarnya dan industri diperlukan.

“Jika timbul masalah membabitkan pencemaran alam sekitar termasuk masalah air sisa pusat cuci kereta yang dikenal pasti antara punca pencemaran sumber asli, pangkalan data berkenaan akan merekod siapa pengeluar bahan terbabit dan tindakan segera termasuk pengharaman bahan berkenaan akan diambil.

“Justeru itu, pangkalan data bahan kimia yang berperanan merekod setiap transaksi bahan berbahaya perlu diwujudkan supaya segala penggunaan dan aliran bahan kimia dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan air sisa basuhan daripada lebih 10,000 pusat cuci kenderaan yang dianggarkan beroperasi di negara ini, dikenal pasti punca pencemaran hidupan laut yang boleh menyebabkan kanser.

Ia berikutan penggunaan ‘snow wash’ mengandungi bahan kimia Linear Alkylbenzenes (LABs), malah hampir 95 peratus daripada pusat cuci kenderaan tidak dilengkapi sistem aliran dan rawatan sistem air, sebaliknya terus disalurkan ke longkang atau sungai.

Piarapakaran yang juga Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata pangkalan data yang menelan perbelanjaan jutaan ringgit itu adalah langkah kawalan jangka masa panjang dan mampu menjaga kualiti alam sekitar.

“JAS mendakwa pangkalan berkenaan mahal dan tidak mampu diwujudkan, maka siapa yang mahu bayar nasib rakyat Malaysia yang terdedah kepada bahaya jika dibandingkan nilai pangkalan terbabit yang tidak mencecah RM10 juta,” katanya.

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.