PETALING JAYA, 22 Okt (Bernama) -- Hampir 37 peratus daripada air yang dirawat di Malaysia tidak menjana sebarang perolehan disebabkan kebocoran dalam sistem saluran paip dan kerosakan meter bekalan air. 
  

"Ini membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM1.5 bilion setiap tahun," kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), S. Piarapakaran.


Bercakap kepada Bernama di sini beliau berkata kehilangan air ini sebenarnya tetap dibayar oleh pengguna kerana jumlahnya dimasukkan dalam tarif air. 


"Oleh itu adalah penting bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan satu kajian menyeluruh dan mengarahkan semua syarikat pengendali bekalan air meminimakan kehilangan air," katanya.   
 

Beliau berkata dengan meminimakan kehilangan air, Malaysia boleh memenuhi lebih banyak permintaan terhadap bekalan air tanpa memerlukan pelaburan-pelaburan baru dalam membangunkan infrastruktur tambahan.  


Piarapakaran seterusnya mencadangkan supaya SPAN merumuskan satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi syarikat pengendali bekalan air berdasarkan kepada keupayaan mereka menangani perkara itu.  


-- BERNAMA