See the source image8 Julai 2020
SHAH ALAM - Jumlah pendapatan sebanyak RM2,150 sebulan boleh dijadikan kayu pengukur kepada kadar garis kemiskinan di bandar.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, ia berpandukan kepada pendapatan RM4,360 yang dikategorikan sebagai golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Katalah jika pendapatan isi rumah itu berjumlah RM4,360 bagi golongan isi rumah B40 dan dibahagikan kepada dua orang iaitu suami dan isteri, jumlah RM2,150 boleh dijadikan kayu pengukur dalam menentukan pendapatan miskin bandar.

“Dengan pendapatan isi rumah RM2,150 sebulan, pastinya tidak dapat menampung kehidupan di bandar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.Mohamad Fazli bagaimanapun berkata, jumlah yang dinyatakan itu hanyalah pandangan beliau dan ia memerlukan kajian mendalam dan secara menyeluruh.

Menurutnya, beliau sangat bersetuju sekiranya garis kemiskinan nasional disemak semula.

“Sebenarnya kita perlu buat semakan semula ke atas pendapatan garis kemiskinan sejak dahulu lagi. Ia perlu kerana keadaan kos sara hidup sekarang semakin meningkat dengan harga barangan asas sentiasa berubah-ubah dan mengalami peningkatan serta keadaan ekonomi tempatan dan global yang tidak menentu,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/91201/BERITA/Nasional/Pendapatan-RM2150-dianggap-miskin-bandar