astro awaniKUALA LUMPUR: Pelaksanaan moratorium jika dilanjutkan akan memberikan ruang kepada golongan B40 dan M40 untuk kembali “bernafas”.

Penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma berkata keputusan lanjutan pemberian moratorium itu mampu membantu mengurangkan beban isi rumah yang kehilangan pendapatan akibat penularan wabak COVID-19.

Selain itu, Dr Madeline juga berkata lanjutan tersebut juga akan meningkatkan 'survival rate' (kelangsungan) perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagi perniagaan, khususnya, PKS, ia akan meningkatkan “survival rate” atau kadar berterusan.
“Ekonomi atau perniagaan perniagaan PKS dapat diteruskan dalam waktu yang dibenarkan untuk dibayar balik. Skor kreditnya tidak akan terjejas.
“Oleh itu, mereka dapat memulakan perniagaan mereka. B40 dan M40 akan dapat meneruskan kelangsungan kehidupan dan kelangsungan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau berkata bank terpaksa “berkorban” dalam tempoh moratorium dilanjutkan kerana mereka terpaksa menanggung bebanan untuk menguruskan pinjaman tersebut.

“Kita juga perlu melihat, bank memainkan peranan yang penting kerana saiz PKS di negara ini adalah 80 peratus daripada sektor perniagaan.

“Jika ekonomi tidak dapat berkembang, maka bank akan mengalami kerugian.

“Bank terpaksa “berkorban” dalam tiga bulan ini atau tempoh (moratorium) dilanjutkan. Ia bukannya kerugian tetapi ia meninggalkan bebanan kepada bank untuk menguruskan pinjaman itu,” ujarnya.

Pada Ahad, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan dan bukan lagi automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Katanya, kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan bank mengenai lanjutan moratorium dan terpulang kepada mereka sama ada boleh melanjutkannya atau tidak.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lanjutan-moratorium-golongan-b40-m40-dapat-bernafas-semula-tetapi-penganalisis-249057