mymetroSabtu, 20 Jun 2020 @ 1:37 PM

KEPUTUSAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak menghantar petugas membaca meter elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan garis panduan dan nasihat pelbagai pihak bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, setiap keputusan dibuat TNB selepas mendapat pandangan dan nasihat pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Keputusan TNB tidak membenarkan pembaca meter buat bacaan bukan keputusan dibuat tanpa mendapat pandangan daripada pelbagai pihak terutama MKN.

"Jadi keputusan itu berasaskan nasihat MKN mengambil kira pandangan beberapa pihak. Itu sebenarnya dibuat TNB," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP itu selaras dengan saranan kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Apa yang kita beri sebagai perkhidmatan penting hanyalah untuk perkhidmatan mengekalkan bekalan, kita tidak mahu bekalan kita terganggu.

 

"Tetapi pembaca meter dikira sebagai bukan perkhidmatan penting kerana itu bukan untuk memastikan kestabilan sistem yang kita ada.

"Jadi TNB akur apa yang ditentukan kerajaan apabila pembaca meter diminta duduk rumah. Kita tidak benarkan pembaca meter keluar sehingga kerajaan kata selamat," katanya.

Beliau berkata, TNB hanya membenarkan pembaca meter keluar selepas keadaan Covid-19 dalam negara bertambah baik.

"Dalam sistem kita memang ada cara kalau ia selamat, cara yang kita ada sekarang.

"Kita hanya benarkan mereka keluar selepas 15 Mei selepas status Covid-19 dalam negara bertukar," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2020/06/591739/tak-pergi-baca-meter-elak-penularan-covid-19