Print
Category: CONSUMER DIGEST

18 Jun 2020
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 11,182 aduan transaksi dalam talian sejak Januari tahun lalu hingga semalam.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, statistik juga menunjukkan berlaku peningkatan jumlah aduan yang diterima iaitu sebanyak 5,767 kes dalam tempoh Januari hingga semalam berbanding 5,415 sepanjang tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, kes paling tinggi melibatkan aduan tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan iaitu sebanyak 3,870 aduan untuk tahun ini dan 3,589 aduan pada 2019.

"Penipuan sebegini semakin serius jadi KPDNHEP meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan supaya ia dapat ditangani," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Aeon 626 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin di Aeon Taman Maluri Shopping Centre, Cheras di sini hari ini.

Menurutnya, kes penjualan barang tiruan dalam talian pula mencatatkan sebanyak 50 aduan pada tahun ini dan 66 aduan pada tahun lalu.

"Hasil penguatkuasaan yang lebih agresif KPDNHEP melakukan sebanyak 384 penurunan kandungan dan halangan akses terhadap penjual yang didapati menipu dari Januari hingga 3 Jun lalu.

"Bagi mengelakkan penipuan sebegini berleluasa dalam platform e-dagang, orang ramai perlu segera buat aduan kepada KPDNHEP melalui pelbagai saluran seperti laman web dan aplikasi WhatsApp," katanya.

Sementara itu, katanya, KPDNHEP ketika ini sedang merangka kempen jualan di peringkat nasional bagi meningkatkan jualan sektor peruncitan selepas ia terjejas teruk akibat wabak koronavirus (Covid-19).

"Kita rancang untuk buat kempen beli barangan Malaysia yang beri tumpuan semasa pandemik sekarang dan jualan Malaysia yang setiap bulan mungkin akan fokus pada satu-satu jenis produk.

"Pelaksanaan kempen ini untuk kita menggerakkan ekonomi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Aeon membuka lembaran baharu industri e-dagang di Malaysia dengan melancarkan platform beli-belah dalam talian menerusi myaeon.com.my.

"Inisiatif Kempen Aeon 626 ini memberi manfaat terutamanya kepada penyewa dan peruncit di Pusat Membeli-Belah Aeon kerana peniaga akan mendapat peluasan capaian pasaran, kos operasi dapat dirasionalisasikan dan membuka cabang baharu dalam sektor peruncitan di negara ini.

"Malahan berani saya katakan bahawa ia mungkin yang pertama di Malaysia dalam konteks pusat membeli-belah," katanya.

 

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/88395/BERITA/Nasional/KPDNHEP-terima-11182-aduan-transaksi-dalam-talian