Print
Category: CONSUMER DIGEST

scam alert websiteKuantan: Gelap mata untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda dalam masa singkat, seorang pekebun sayur di Cameron Highlands dekat sini, kerugian RM163,000 selepas diperdaya satu pelaburan yang dilihatnya di Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mula tertarik dengan pelaburan berkenaan selepas diperkenalkan seorang wanita bernama Winnie Wong.

Katanya, wanita berkenaan bukan sahaja memperkenalkan sebaliknya bertindak sebagai pengajar kepada mangsa mengenai selok belok sistem pelaburan menyebabkannya terpengaruh.

Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan berganda hasil pelaburan berkenaan mula melabur dengan membuat 14 transaksi ke dalam dua akaun bank secara berperingkat bermula dengan RM83,000 pada 7 September.

"Pada 8 September mangsa terus melakukan 10 transaksi lagi sebanyak RM45,000 dan pada 9 September mangsa membuat lapan transaksi sebanyak RM35,000 ke dalam satu akaun.

"Daripada sebanyak RM163,000 yang dilaburkan mangsa dikatakan meraih sedikit sahaja keuntungan diperingkat awal dia melabur," katanya melalui kenyataan semalam.

Katanya, selepas semua transaksi dibuat pada 9 September kira-kira 9 malam, mangsa mendapati pemilik akaun terbabit menutup dan membekukan akaun.

Mohd Wazir berkata, mangsa merasakan dia tertipu segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam.

Disiarkan pada: September 13, 2021 @ 8:08am

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/754188/nak-kaya-cepat-pekebun-sayur-rugi-rm163000