Tinjauan kelmarin di Kuala Terengganu mendapati harga runcit ayam RM 9.50 sekilogram, harga borong RM8 sekilogram - Foto BERNAMAKhamis, 9 September 2021 | 12:15pm
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan beberapa pengeluar ayam terbesar negara bagi menyelesaikan isu kenaikan harga ternakan itu di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata perbincangan itu untuk mengenal pasti punca kenaikan harga dan mencari jalan penyelesaian.
Katanya, berdasarkan pemantauan KPNDHEP, masih terdapat pasar raya besar menjual ayam pada harga RM6.90 hingga RM8.49, manakala pasar raya pula menjual antara RM6.90 hingga RM8.89.

"Kenaikan harga ayam sehingga RM10 sekilogram hanya di pasar basah berikutan permintaan tinggi pengguna yang menganggap ayam di pasar basah lebih segar dan berkualiti berbanding yang dijual di pasar raya besar dan pasar raya," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas kenyataan Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng, ada beberapa faktor memaksa penternak menaikkan harga ayam, antaranya peningkatan kos untuk dedak dan anak ayam, Rosol mempersoalkan mengapa berlaku perbezaan harga antara ayam dijual di pasar basah dan pasar raya.

Katanya, perbezaan harga juga turut berlaku apabila ada peniaga kecil di bahu jalan mampu menjual ayam pada harga lebih murah jika dibandingkan di pasar basah.

"KPDNHEP akan mengadakan perbincangan dengan pembekal dan pengeluar termasuk di peringkat ladang untuk mencari kaedah penyelesaian. Kita juga minta pengguna beralih dapatkan ayam di pasar raya besar dan pasar raya kerana kualiti serta kesegaran tetap sama," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati ada antara peniaga masih menjual ayam pada harga antara RM8.10 hingg RM9 sekilogram, manakala harga borong pula antara RM7.99 sen hingga RM8.10 sen sekilogram.

Peniaga yang ditemui di sini, mendakwa harga ayam dijangka meningkat sehingga RM10 sekilogram sepanjang minggu depan.

Sumber: https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/861740/ayam-naik-harga-kpdnhep-akan-jumpa-pengeluar