Print
Category: CONSUMER DIGEST

Image result for sirim15/02/2021 01:58 PM
SHAH ALAM, 15 Feb -- SIRIM QAS International sedang membangunkan kaedah untuk pengguna memeriksa status barangan elektrik atau elektronik yang dibeli secara dalam talian bagi memastikan barangan terbabit mempunyai kelulusan SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Nur Fadhilah Muhammad berkata usaha itu dilihat perlu memandangkan pada masa ini pengguna tidak mempunyai cara untuk berbuat demikian sebelum membuat pembelian barangan terbabit.

“Kaedah tersebut sedang bangunkan dan akan disiapkan secepat mungkin kerana ia amat penting bagi melindungi hak pengguna.

“Buat masa ini, SIRIM hanya mempunyai aplikasi untuk memudahkan pengguna memeriksa barangan elektrik dan elektronik yang dibeli di kedai sahaja,” katanya pada sidang media pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan SIRIM-ST 2021 secara maya hari ini.

Turut hadir pada sidang media maya itu ialah Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan Ketua Pegawai Eksekutif ST Abdul Razib Dawood.

Kempen selama tiga bulan bermula hari ini menerusi platform media sosial SIRIM dan ST itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membeli barangan elektrik dan elektronik yang mendapat kelulusan kedua-dua agensi berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Fadzil dalam ucapannya semasa melancarkan kempen tersebut mengingatkan pengguna supaya sentiasa peka dan hanya membeli peralatan elektrik serta elektronik yang diluluskan oleh SIRIM-ST.

“Langkah ini bagi mengelakkan kemalangan atau kebakaran sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian. Hanya label SIRIM-ST dapat mengesahkan barangan yang dibeli pengguna selamat untuk digunakan,” katanya.

Abdul Razib pula berkata sebanyak 45 kes kemalangan berpunca daripada barangan elektrik dan elektronik dilaporkan tahun lepas dengan 28 daripadanya mengakibatkan kematian.

“Kita lihat jumlah kemalangan melibatkan jenis barangan tersebut semakin menurun,” katanya.

Tambah Abdul Razib, sebarang peralatan elektrik dan elektronik yang akan dijual di pasaran perlu mendapat Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST dan menjalani ujian serta pensijilan oleh SIRIM.

“Peralatan elektrik yang melepasi ujian ditetapkan akan diberikan label SIRIM-ST atau mempunyai tanda pensijilan SIRIM. COA dikeluarkan ST pula untuk pengeluar serta pengimport perkakas yang memenuhi standard dan keperluan keselamatan di bawah Peraturan-peraturan Elektrik 1994”, katanya.

-- BERNAMA

Sumber: https://bernama.com/bm/am/news.php?id=1931545