Print
Category: CONSUMER DIGEST

scam alert websiteKhamis, 18 Februari 2021 @ 8:50 AM
Kuala Lumpur: "Saya terkejut apabila ramai kenalan menelefon bertanyakan sama ada saya mempunyai masalah kewangan selepas nombor telefon di WhatsApp tidak dapat diakses," kata Pengerusi Pertubuhan Harmoni Masyarakat Melayu Perak (Harmonis) Datuk Rosli Yang Daniyan, 60.

Rosli berkata, beliau hanya menyedari aplikasi WhatsApp yang didaftarkan menggunakan nombor telefonnya tidak dapat diakses, kira-kira 10 pagi, Sabtu lalu.

"Saya mencuba pelbagai cara untuk mendapat akses mesej di WhatsApp termasuk memadamkan serta memuat turun semula aplikasi berkenaan, namun gagal.

"Malah sepanjang proses itu, saya tidak menerima kod pengesahan enam angka seperti kebiasaannya.

"Beberapa jam kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang kenalan yang bertanyakan sama ada saya benar-benar memerlukan wang selepas menerima mesej di WhatsApp saya yang kononnya mahu meminjam wang berjumlah RM10,000," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, beliau kemudian menerima semakin banyak panggilan telefon daripada rakannya yang memaklumkan perkara sama.

Beliau berkata, lebih 50 kenalannya menghubungi beliau pada Sabtu lalu selepas menerima mesej daripadanya yang mahu meminjam wang antara RM500 hingga RM30,000 di WhatsApp.

"Kebanyakan kenalan saya terus bertindak menelefon saya selepas curiga dengan cara mesej berkenaan ditaip berlainan daripada cara saya.

"Tambah mencurigakan apabila nombor akaun bank diberikan mereka untuk memindahkan wang berkenaan adalah daripada individu tidak dikenali," katanya.

Katanya, berdasarkan penceritaan rakan-rakan, beliau mendapati terdapat tiga akaun bank daripada tiga individu berlainan termasuk seorang wanita bagi pemindahan wang.

"Sehingga kini, saya masih lagi dihubungi kenalan yang memaklumkan mengenai perkara itu. Difahamkan daripada lebih 50 kenalan saya yang menerima mesej berkenaan, hanya seorang daripada mereka yang memasukkan wang berjumlah RM1,000 ke dalam akaun seperti diminta.

"Saya sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kepong, Sabtu lalu dan diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada hari sama," katanya.

Ketika ditanya sama ada mengetahui punca nombor telefon WhatsApp miliknya digodam, beliau memaklumkan tidak dapat mengenal pasti masalah itu.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak mengetahui bagaimana WhatsApp saya boleh digodam kerana saya tidak ada menerima sebarang mesej daripada individu tidak dikenali di media sosial itu atau lain-lain berkaitan aplikasi berkenaan sebelum ini.

"Namun, tugas saya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini menyebabkan nombor telefon saya mudah diperolehi di mana-mana platform sekali gus mungkin menjadi faktor ia menjadi sasaran sindiket penipuan terbabit ," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada 13 Januari lalu.

"Menurut laporan pengadu, dia mendakwa gagal membuka aplikasi WhatsApp walaupun sudah memuat turun semula aplikasi itu kerana kod pengesahan tidak diterimanya.

"Pengadu kemudian menerima panggilan telefon daripada rakan wanita yang bertanyakan sama ada dia ada meminta untuk meminjam wang dan perkara itu dinafikan mangsa.

"Pengadu mengesyaki ada individu lain yang menggunakan identitinya untuk membuat pinjaman wang " katanya dalam kenyataan, semalam.

Eng Lai berkata, sepanjang tempoh tahun lalu, sebanyak 193 laporan polis diterima berhubung penipuan menggunakan platform WhatsApp membabitkan kerugian lebih RM6 juta.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan panggilan serta mesej pada WhatsApp yang diterima dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dulu supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Orang ramai boleh membuat semakan dengan melayari laman sesawang Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi menyemak akaun yang terbabit dalam kes penipuan.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan sindiket penipuan atau sebarang aktiviti mencurigakan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222, Hotline Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/675619/whatsapp-pengerusi-ngo-harmonis-digodam