Image result for sisa plastik17/02/2021 10:22 PM
KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Malaysia menghantar pulang 254 kontena sisa plastik dengan anggaran berat 5,512 tan metrik ke negara asal tanpa melibatkan sebarang kos kepada kerajaan pada tahun lepas, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain berjaya menggantung pengimportan sisa plastik secara haram ke dalam negara, katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan operasi 204 kilang kitar semula sisa plastik haram sepanjang tempoh itu.

Aktiviti pembanterasan itu selaras dengan komitmen kementerian dalam Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Pelan Strategik Kelestarian Alam Sekitar Di Malaysia 2020-2030, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada ketua Pengarah dan warga kerja JAS atas kejayaan merangkul Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020.

Majlis penganugerahan daripada Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) itu diadakan secara maya hari ini.

“Penghargaan turut diberikan lepada semua agensi penguat kuasa di negara ini iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan semua pihak Berkuasa Pelabuhan yang menjadi ‘kunci’ kepada kejayaan itu,” katanya.

Katanya, kerjasama dan perkongsian maklumat pintar dengan agensi luar negara seperti Pihak berkuasa Kompeten di bawah Konvensyen Basel dan INTERPOL juga banyak membantu usaha JAS.

Anugerah tersebut mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan penguatkuasaan oleh institusi kerajaan atau pasukan memerangi jenayah alam sekitar rentas sempadan.

-- BERNAMA

Sumber: https://bernama.com/bm/am/news.php?id=1932484