Print
Category: CONSUMER DIGEST

MalaysiakiniWabak Covid-19 bukan sahaja melemahkan ekonomi negara tetapi turut mengubah aktiviti harian manusia secara amnya. Pengguna di Malaysia boleh dikatakan semakin serasi dengan kehidupan norma baharu semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula pada 18 Mac yang lalu.

Antara perubahan aktiviti harian pengguna Malaysia yang paling ketara ialah apabila mereka mula serasi dengan kaedah pembelian barangan keperluan melalui platform atas talian atau e-dagang. Berdasarkan kajian statistik, aktiviti jual beli e-dagang mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April yang lalu.

Maka pemilik bisnes juga tidak mahu ketinggalan dengan pasca norma baharu ini, kebanyakan daripada mereka telah mula melakukan paradigma yang baru iaitu dengan meneroka peluang bisnes melalui platform e-dagang.

Namun begitu, berdasarkan data aduan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 2,500 aduan penipuan e-dagang telah diterima dalam tempoh 18 Mac sehingga 4 Ogos lalu. Manakala Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) pula telah menerima sebanyak 1,520 kes aduan penipuan e-dagang dalam tempoh Januari sehingga Oktober di mana 1,216 kes aduan adalah daripada pengguna di Selangor yang membeli barangan e-dagang melalui platform Facebook, Twitter, Instagram dan juga Mudah.my.

Ada kes yang NCCC terima daripada pengguna di Selangor di mana pejual telah mendesak dan memaksa pembeli supaya membayar barangan yang dibeli dengan harga tambahan kononnya barangan tersebut telah tersangkut di Jabatan Kastam kerana barangan tersebut diimport dari negara luar.

Penjual mengugut pembeli untuk membuat laporan polis sekiranya pembeli tidak membayar duit tambahan tersebut. Pembeli yang kurang kesedaran mengenai hak mereka sebagai pengguna akan terus membayar tanpa rasa curiga dan natijahnya duit tersebut lesap begitu sahaja.

Untuk isu aduan seperti ini, kebiasannya NCCC akan menasihati pengguna untuk membuat laporan polis dan kes seperti ini akan diajukan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membolehkan pihak SKMM memantau pergerakan para scammer ini di platform media sosial.

Pengguna perlu lebih berhati-hati dengan penjual yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana tiada badan ketiga yang memantau mereka malah jika tertipu, agak sukar untuk pengguna mendapatkan kembali duit tersebut. Perkara ini berbeza dengan platform seperti Shoppee, Lazada, Go Shop, CJ Wow Shop dan seangkatan dengannya di mana mereka mempunyai nombor perkhidmatan pelanggan yang pengguna boleh hubungi jika terdapat sebarang masalah berhubung dengan perkhidmatan e-dagang mereka.

Oleh itu, pengguna perlu lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pembelian atas talian. Di sini, terdapat beberapa tips untuk pembeli membeli-belah atas talian atau e-dagang, antaranya ialah:

Pengguna perlu mengunjungi laman beli belah atas talian yang dikenali dan semak maklum balas pembeli lain mengenai proses pembelian yang dilakukan (customer’s review).
Pastikan setiap penjual mempunyai maklumat lengkap perniagaan seperti alamat perniagaan, telefon pejabat dan sijil perniagaan yang sah.
Pastikan semua nombor telefon dan e-mel boleh dihubungi bagi membolehkan sebarang urusan pemulangan semula atau aduan dilakukan selepas transaksi jual beli.
Pastikan syarikat itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika mereka memaparkan nama perniagaan atau nombor pendaftaran syarikat, pengguna boleh menyemak di laman sesawang SSM, https://www.ssm.com.my/bm/Pages/Quick_Link/e-Search_backup.aspx untuk tujuan pengesahan. Jika maklumat perniagaan tersebut tiada di dalam laman sesawang tersebut, ada kemungkinan, sijil perniagaannya telah tamat tarikh luput atau pun tidak wujud. Oleh itu, pengguna perlu lebih berhati-hati kerana pihak NCCC ada menerima aduan di mana pihak penjual mempunyai nombor pendaftaran syarikat tetapi nombor pendaftarannya tidak sah.
Pastikan penjual mempunyai kredibiliti sebagai contoh berdaftar dengan SSM, mempunyai maklumbalas yang baik daripada pengguna yang lain, bisnes yang boleh menambah baik kualiti produk dan mutu perkhidmatan berdasarkan maklumbalas daripada pengguna dan juga yang boleh dipercayai dalam melakukan perniagaan dalam talian.
Jangan membuat keputusan secara melulu, terutama pemilik kad kredit, jika mendapat tawaran promosi yang hebat daripada penjual. Pengguna perlu membuat tinjauan terlebih dahulu dengan membandingkan harga barangan dengan penjual yang lain sebelum membuat keputusan membeli.
Sebelum membuat transaksi, lakukan carian mengenai nombor akaun penjual/syarikat tersebut di laman sesawang Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan pemilik akaun tidak mempunyai rekod hitam sebelum ini.
Sebagai permulaan, beli produk yang murah harganya bagi menilai kredibiliti peniaga terbabit
Pembayaran tunai semasa penerimaan barangan (cash on delivery) adalah kaedah yang lebih baik. Jika pengguna mempunyai peluang untuk memeriksa barang apabila menerima barangan di tangan, pastikan anda menyemak barangan terlebih dahulu sebelum pembayaran. Sekiranya barangan tidak sepadan dengan barangan yang ditempah atas talian atau didapati telah rosak, pengguna boleh mengembalikan barangan tersebut dengan segera dan pengguna tidak perlu membayar.
Memastikan penjual memberi jaminan barang yang dibeli sampai tepat pada waktunya.
Memastikan barang yang telah diterima adalah sama seperti yang dipamerkan di laman sesawang.
Jangan lupa mencetak dan menyimpan setiap dokumen yang berkaitan dengan pembelian bagi memudahkan proses pertukaran jika terdapat kerosakan.
Masalah kegawatan ekonomi yang berpunca daripada wabak pandemik Covid-19 telah membuatkan banyak pihak sedang terdesak untuk mencari duit dengan jalan yang mudah.

Penipuan e-dagang adalah salah satu peluang untuk scammer membuat duit dengan mudah kerana pihak berkuasa mempunyai beberapa cabaran dalam pengawasan pasaran platform e-dagang terutama jika penjual tidak berdaftar dengan SSM dan barang e-dagang tersebut diimport daripada negara luar.

Bukan itu sahaja, keselamatan produk yang dibuat melalui pembelian e-dagang juga menjadi persoalan kerana pengguna tidak boleh melihat produk pengguna secara fizikal. Sebagai contoh, barangan elektrik, pengguna tidak boleh lihat sama ada barang tersebut mempunyai logo ST-SIRIM atau pun tidak.

Pengguna hanya perlu percaya dengan maklumat keterangan produk yang diberikan oleh penjual atau syarikat tersebut. Malah keaslian produk yang dibeli melalui perkhidmatan e-dagang juga menjadi persoalan melainkan penjual atau syarikat berkenaan benar-benar jujur dalam soal integriti dengan menjual produk yang asli dan selamat untuk digunapakai oleh pengguna.

Sehubungan dengan itu, diharap pengguna dapat merujuk tip-tip yang diberikan ini sebelum mula membuat pembelian jualan murah 11.11 kelak.

Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai pembelian e-dagang, pengguna boleh juga hubungi NCCC di talian 03-7803 6000 atau 03-7877 9000 atau untuk pengguna di Selangor khususnya, boleh juga hubungi KPDNHEP Selangor di talian 03-55144300.

NUR ASYIKIN AMINUDDIN adalah timbalan setiausaha agung Fomca. Artikel ini dibawakan oleh Fomca dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/letters/550435