scam alert websiteOktober 20, 2020 @ 9:50am
SEREMBAN: Seorang guru wanita di sini kerugian RM105,461 angkara terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud, selepas membuat 30 kali transaksi di internet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata mangsa berusia 36 tahun itu terpedaya dengan sindiket terbabit 24 Ogos lalu.

Katanya, pada hari kejadian jam 7 malam ketika berada di No 91, D CHU Ward, Bahau Jempol, dekat sini, mangsa melayari Facebook.

"Mangsa terbaca satu pautan iaitu Rakan Mas Credit Finance dan tertarik dengan tawaran itu serta bersetuju membuat pinjaman RM10,000.

"Dia kemudian menghantar salinan kad pengenalan dan slip gaji melalui aplikasi WhatsApp kepada dua individu iaitu bernama Elwin di nombor 0111-51503204 dan Allen di nombor 013-9650255.

"Tidak lama selepas menyerahkan dokumen itu, mangsa diberitahu pinjaman diluluskan, namun dia perlu membuat bayaran bagi duti setem, bayaran kewangan, yuran pemprosesan, yuran perjanjian dan internet," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat bayaran melalui dalam talian kepada 12 akaun bank yang berbeza-beza sebanyak 30 kali tranksaksi berjumlah RM105,461.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun rasa tertipu kerana Allen sering kali meminta memasukkan wang.

"Selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, beliau tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bahau, semalam.

"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud melalui Facebook yang membuat bayaran pemprosesan pinjaman sebanyak RM105,461 melalui 30 kali transaksi dengan 12 akaun bank atas nama berbeza," katanya.

Aibee berkata, aktiviti penipuan pinjaman wang ini semakin membimbangkan dan perkara ini boleh dibendung sekiranya lebih berwaspada dengan tipu helah.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/10/743891/guru-rugi-rm105461-terpedaya-sindiket-pinjaman-tak-wujud