Print
Category: CONSUMER DIGEST

Penggunaan CRS melindungi kanak-kanak semasa berlakunya perlanggaran dengan mengurangkan risiko kecederaan yang mungkin dialami. - Foto NSTP/ Aziah AzmeeOktober 16, 2020 @ 1:59pm
KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan di Malaysia dilapor meningkat enam peratus pada tahun ini berbanding 2019.

Hasil itu dilaporkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) susulan kajian dilakukan mendapati 50.1 peratus kadar penggunaan CRS direkodkan berbanding hanya 43.87 peratus pada akhir tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, berkata ia suatu perkembangan positif kerana menunjukkan tahap pengetahuan dan kesedaran semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa mengenai keselamatan anak masing-masing ketika dalam kenderaan.

"CRS alat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan terjamin dan peningkatan kadar penggunaan ini menunjukkan ibu bapa mulai sedar mengenainya.

"Ini kerana, aksesori itu membantu melindungi kanak-kanak semasa berlakunya perlanggaran dengan cara mengurangkan risiko kecederaan yang mungkin dialami oleh mereka," katanya melalui kenyataan, di sini.

Pada masa sama, Khairil Anwar berkata dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kecederaan membabitkan kanak-kanak, MIROS turut bekerjasama dengan jenama KOOPERS bagi melancarkan video kempen bertajuk 'Dekat tidak semestinya selamat'.

Beliau berkata, video dihasilkan bertujuan mengingatkan ibu bapa mengenai pentingnya penggunaan CRS tanpa mengira jarak sesuatu perjalanan.

"Video ini juga dapat membantu ibu bapa melakukan pembelian CRS secara dalam talian dengan mudah dan cepat kerana penggunaan yang betul amat penting bagi memastikan keberkesanan fungsinya.

"Pemilihan CRS mestilah mematuhi piawaian antarabangsa melalui peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), " katanya.

Selain itu, katanya MIROS dan pengusaha CRS giat mempromosikan kempen kesedaran kepada orang ramai khususnya ibu bapa supaya lebih peka dan terbuka untuk belajar menggunakannya.

Katanya, pelbagai langkah promosi dijalankan bagi memastikan ibu bapa dapat memiliki CRS pada harga berpatutan dan berkualiti serta memenuhi piawaian ditetapkan.

"Ibu bapa digalakkan turut serta dalam program latihan keselamatan pengguna kanak-kanak Malaysia (MyCOSTP) dianjurkan MIROS untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penggunaan CRS, " katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/742563/penggunaan-kerusi-keselamatan-kanak-kanak-dalam-kenderaan-meningkat?topicID=1&articleID=742563