Print
Category: CONSUMER DIGEST

scam alert websiteRabu, 14 Oktober 2020 @ 2:12 PM
Kepala Batas: Takut selepas didakwa terbabit dengan aktiviti penjualan akaun bank hingga meraih keuntungan jutaan ringgit menyebabkan wang simpanan RM136,000 milik seorang suri rumah lesap selepas ditipu sindiket Macau Scam.

Mangsa berusia lingkungan 70-an menerima panggilan telefon pada Ahad lalu daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dari Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur.

Individu itu memaklumkan terdapat bungkusan atas nama mangsa mengandungi sekeping kad pengenalan dan lapan kad pengeluaran wang automatik (ATM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan mangsa kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Mangsa dikatakan bercakap dengan individu kononnya seorang inspektor polis yang memaklumkan mangsa terbabit dalam kegiatan menjual akaun bank kepada seorang lelaki sebanyak RM10,000 dan menerima wang sebanyak RM23 juta.

"Inspektor polis itu memberitahu, mangsa adalah suspek utama dalam kes ini dan perlu memberikan kerjasama selain tidak boleh memberitahu sesiapa memandangkan kes masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang terlalu takut dikenakan tindakan akur dengan arahan individu terbabit dan segera memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek melalui mesin ATM.

"Mangsa membuat tujuh transaksi memasukkan wang simpanannya ke dalam empat akaun yang keseluruhannya berjumlah RM136,000.

"Suspek memberitahu mangsa wang itu hanya untuk semakan pihak terbabit berhubung kes yang sedang disiasat dan akan dipulangkan semula selepas siasatan selesai," katanya.

Katanya, mangsa sedar terperangkap dengan sindiket penipuan dan membuat laporan polis semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/630551/wang-simpanan-lesap-ditipu-macau-scam