PEMINJAM juga boleh mendapatkan bantuan alternatif daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan sektor perbankan terus komited membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan selepas moratorium secara automatik berakhir semalam.

Ia berkata, institusi perbankan memperkenalkan pelbagai pakej untuk membantu peminjam yang terjejas termasuk lanjutan moratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka yang khusus.

"Pendekatan bersasar ini akan memastikan lebih banyak sumber tersedia untuk membantu mereka yang mudah terjejas. Pendekatan ini juga membolehkan sektor perbankan menyokong ekonomi secara lebih meluas melalui pemberian pinjaman yang berterusan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

BNM berkata, industri perbankan menghubungi peminjam secara aktif melalui pelbagai cara, malah bank pusat itu bersama-sama dengan industri perbankan mengadakan lebih 150 sesi perbincangan dan interaksi.

"Itu termasuk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Bagi melancarkan proses permohonan, institusi perbankan memudahkan langkah permohonan membolehkan permohonan dibuat secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank (termasuk hujung minggu)," katanya.

Bank pusat berkata, bank menghubungi lebih dua juta peminjam melalui panggilan telefon, e-mel dan SMS untuk menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman.

"Sehingga setakat ini, kira-kira 500,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 98 peratus. Jumlah peminjam yang memilih untuk menyambung semula bayaran ansuran bulanan mereka juga terus meningkat," katanya.

BNM berkata, bagi permohonan yang masih lagi belum mendapat jawapan, bank memberikan komitmen mereka untuk memaklumkan keputusan permohonan secepat mungkin.

"Kami akan memantau rapi amalan bank dalam hal berkenaan. Peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK melalui This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.," katanya.

Permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021 tidak akan dipaparkan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

Peminjam juga boleh mendapatkan panduan dan pilihan bantuan alternatif daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Peminjam yang mampu menyambung semula bayaran balik pinjaman bulanan disarankan berbuat demikian kerana tindakan itu akan mengurangkan kos hutang dan pinjaman mereka secara keseluruhan.

BNM berkata, meskipun keadaan ekonomi secara amnya bertambah baik, sesetengah peminjam mungkin menghadapi cabaran membuat bayaran balik pinjaman jika keadaan mereka berubah pada bulan yang akan datang.

"Sekiranya perkara ini berlaku, peminjam boleh berurusan dengan bank untuk berbincang mengenai pengaturan bayaran balik pinjaman alternatif.

"Dalam tempoh ini, institusi perbankan akan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/10/626082/bank-hubungi-dua-juta-peminjam