scam alert website3 September 2020
KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar berusia 19 tahun dari Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, di sini ditipu lebih RM6,000 oleh sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud ketika berhasrat membuat pinjaman peribadi.

Pelajar perempuan itu turut berasa ketakutan dengan gangguan ahli sindiket tersebut yang meminta wang susulan mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman peribadi.

Menurut sumber, mangsa berminat untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM5,000 selepas melihat iklan di laman web sebuah bank pada 20 Ogos lalu dan terus menghubungi nombor telefon pada iklan.

"Mangsa diberitahu beberapa syarat wajib dipersetujui sebelum permohonannya diluluskan termasuk caj bayaran bulanan ansuran berjumlah RM158 sebulan dalam tempoh tiga tahun. Tanpa berfikir panjang, mangsa bersetuju dan diminta memasukkan RM400 ke dalam satu akaun bank konon sebagai bayaran cukai.

"Pada esok hari, mangsa diarah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank lain sebagai bayaran insurans pula. Pada 27 Ogos lalu, wakil sindiket menghubungi mangsa dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun konon terdapat beberapa masalah semasa proses kelulusan permohonan dan perlu diselesaikan segera. Mangsa mengikut arahan diberikan," " katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Tambah sumber, mangsa yang mula syak dijerat oleh sindiket penipuan itu terus membuat laporan polis selain mula berasa takut jika maklumat peribadinya digunakan oleh sindiket.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menip.

Pada masa sama Zambri berkata, kes penipuan pinjaman tidak wujud semakin meningkat di Terengganu, justeru menasihatkan orang ramai supaya waspada dengan sebarang iklan pinjaman wang di internet.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/99545/EDISI/Terengganu/Pelajar-kena-tipu-lebih-RM6000
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf