KUALA LUMPUR: Identiti suspek yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian seperti Macau Scam dan Love Scam sukar dikenal pasti kerana menggunakan nombor telefon yang didaftarkan di luar negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata suspek juga kebiasaannya menggunakan protokol suara melalui internet (VOIP) yang menyebabkan jejak mereka sukar dikesan.

Justeru itu katanya, kerajaan sudah meminta kerjasama Bank Negara untuk memperketatkan pembukaan akaun baharu di bank.

"Kita juga minta kerjasama daripada syarikat telekomunikasi supaya apabila kita minta identiti dan maklumat akaun telefon bimbit (suspek), ia boleh diberikan dengan segera (syarikat telekomunikasi).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil serius kegiatan ini kerana jenayah penipuan semakin meningkat dan menjejaskan ekonomi kita," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Bashir Alias pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menjawab soalan asal, Ismail berkata, PDRM juga mewujudkan akaun Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police untuk berkongsi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman kegiatan penipuan dalam talian.

Beliau berkata, kementeriannya dan PDRM pastinya mengambil berat dan memantau serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap masalah jenayah atas talian ini.

"Kita kategorikan jenayah ini kepada lima. Pertama Macau Scam, kedua Love Scam atau African Scam, ketiga belian 'online', empat tipu pinjaman tidak wujud dan kelima, tipu SMS.

"Antara usaha dilakukan PDRM adalah mempertingkatkan penguatkuasaan, mengesan dan mendakwa mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penipuan dalam talian ini.

"Melakukan pameran mengenai kesalahan atau cara melakukan jenayah scam di kompleks beli-belah dan tempat tumpuan orang ramai. Kita juga adakan sesi dialog dengan masyarakat setempat, kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar sekolah, penuntut IPT dan IPTS serta NGO (badan bukan kerajaan)," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/727471/identiti-suspek-tipu-dalam-talian-didaftarkan-di-luar-negara