KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan menggunakan peralatan elektrik yang diperakui Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengelakkan berlaku litar pintas seterusnya mengakibatkan renjatan elektrik dan kebakaran.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata pengguna perlu sedar peralatan elektrik tidak memenuhi spesifikasi ST dari luar negara dan dijual pada harga rendah adalah tidak berkualiti serta menimbulkan risiko kepada nyawa pengguna.
"Saya nasihatkan kena berhati-hati ketika menggunakan barangan elektrik, kena tengok dari manual penggunaannya. ST ada garis panduan.
"Pada masa sama, masih berlaku penjualan barangan elektrik yang diimport dan dijual di sini tanpa memenuhi standard tertentu.
"Perkara ini boleh mengakibatkan situasi cemas seperti litar pintas, kemudian menjurus kepada insiden kebakaran," katanya pada BH, hari ini.
Kelmarin, pemain gitar profesional, Wan Radzie Wan Othman yang lebih dikenali sebagai Eddy Malmsteen, dilaporkan meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik berpunca daripada alat pemanas air.
Turut dilaporkan terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, ialah kakaknya, Wan Zunira.