Moratorium on the Rent Increase: What You Need to Know – Renters ...23 Julai 2020, 11:10 am
Dalam isu moratorium, sebenarnya kerajaan tidak mempunyai pilihan selain memberi ‘lampu hijau’ melanjutkan pembayaran balik ini terutama kepada golongan terjejas.Walaupun terdapat beberapa pilihan lain yang dipertimbangkan tetapi ia dilihat tidak membantu sepenuhnya golongan yang betul-betul memerlukan lanjutan ini.

Pandemik Covid-19 bukan sahaja menyebabkan mereka hilang pekerjaan secara tiba-tiba ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tetapi lebih menekan golongan yang telah kehilangan pekerjaan lebih awal dari tempoh itu dan gagal mencari pekerjaan lain sebelum PKP.

Sepatutnya dalam keadaan terhimpit ketika ini, kerajaan cuba berunding dengan pihak bank untuk melihat langkah-langkah terbaik yang boleh dilaksanakan kedua-dua pihak dan bukannya menyerahkan keputusan itu dibuat institusi perbankan.

Rakyat kini mempunyai kira-kira dua bulan lagi untuk menikmati ‘tempoh bercuti’ sebelum impak utama dirasai mulai Oktober apabila tiada lagi keistimewaan moratorium.

Institusi perbankan juga seolah-olah memberi isyarat tiada lanjutan lagi tetapi memberi ruang kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan ini untuk datang berbincang ­dengan pihak bank.

Jadi, sejauh mana dalam hal ini bank boleh membantu mempermudahkan urusan mereka. Kita tahu, tidak ramai yang suka berurusan di bank tambahan pula dalam keadaan seperti ini.

Dalam soal ini, peranan kerajaan amat penting untuk membantu urusan mereka yang terjejas apatah lagi Covid-19 masih belum berakhir walaupun sektor ekonomi dibuka secara berperingkat sejak 4 Mei lalu.

Apa yang lebih membimbangkan, jika tiada sebarang langkah diambil kerajaan dalam perkara ini, lebih banyak perniagaan terpaksa gulung tikar sekali gus lebih ramai hilang kerja.

Utusan Malaysia semalam melaporkan 1.5 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa menutup perniagaan jika tiada lanjutan ini kerana sebahagian besar daripada mereka baru sahaja memulakan operasi perniagaan pada Jun dan mempunyai tempoh singkat untuk membayar semula pinjaman.

Sudah tentu ini akan terus melonjakkan kadar pengangguran yang pada Mei lalu sudah mencecah 5.3 peratus dengan 826,100 hilang kerja.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula menjangkakan lebih ramai akan jatuh bankrap pada suku pertama 2021 terutama membabitkan golongan muda.

Pada 2019, sebanyak 12,051 individu diisytihar muflis, me­ningkat 36.8 peratus berbanding 16,482 pada tahun sebelumnya.

Menurut Bank Negara Malaysia dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 yang dikeluarkan April lalu, hutang isi rumah meningkat kepada 82.7 peratus didorong ter­utama oleh pembiayaan rumah.

Dari segi risiko pula, golongan yang berpendapatan lebih mudah terjejas (dengan pendapatan kurang RM3,000) terus menurun kepada 17.6 peratus daripada jumlah hutang isi rumah, manakala risiko bagi peminjam rumah dengan pendapatan tidak tetap kekal rendah pada dua pe­ratus daripada jumlah pinjaman oleh sistem perbankan.

BNM menyifatkan bank-bank berada pada kedudukan yang baik untuk terus menyokong ­aktiviti pemberian pinjaman sekali gus mengurangkan risiko makroekonomi semasa.

Sumber: https://www.utusan.com.my/ekonomi/2020/07/moratorium-pilihan-kerajaan-terhad/