PUTRAJAYA: Kabinet sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan kawalan fi perundingan di bawah Akta 586.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan dibuat selepas perbincangan Mesyuarat Kabinet pada 29 November dan hari ini.“Perbincangan membabitkan cadangan pindaan Jadual Ketujuh, Peraturan-Peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta Atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 di bawah Akta 586 (Jadual Ketujuh).“Kabinet sudah menilai perkara ini secara holistik dan komprehensif serta mengambil kira saranan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

“Kabinet juga prihatin terhadap keperluan bagi pindaan Jadual Ketujuh, yang belum pernah dipinda sejak ia mula dikuatkuasa pada 2006.“Pemansuhan kawalan fi perundingan ini membabitkan semua fasiliti berdaftar (Jadual Ketujuh) dan fasiliti berlesen (Jadual Ketiga Belas),” katanya dalam kenyataan hari ini.Tambah beliau, dengan pemansuhan kawalan fi perundingan, pengamal perubatan dan pengamal pergigian swasta akan dapat menentukan kadar fi perundingan yang dikenakan ke atas pesakit mereka.“Pesakit pula boleh menilai dan membuat keputusan awal jika fi perundingan yang ditawarkan adalah berpatutan.“Pemansuhan kawalan fi perundingan ini adalah satu langkah untuk memperkukuhkan lagi kuasa pilihan di tangan rakyat,” katanya.