FOMCA minta pihak berkuasa pantau amalan klinik swasta kenakan caj berbeza di antara pesakit yang membayar tunai dan menggunakan kad insurans perubatan. Persatuan pengamal perubatan am swasta akui amalan sedemikian tetapi ia adalah atas budi bicara.

Kuala Lumpur: Amalan klinik swasta mengenakan caj rawatan dan ubat berbeza bagi kaedah bayaran secara tunai dan menggunakan kad insurans perubatan, perlu dihentikan kerana ia seolah-olah menindas pengguna.Langkah klinik mengenakan caj tambahan sehingga 10 peratus terhadap pemegang polisi insurans berbanding bayaran tunai, menyebabkan pesakit cepat kehabisan kuota perlindungan masing-masing.Selain caj rawatan, harga ubat mencapai hampir 90 peratus lebih mahal dikenakan kepada pesakit, berbanding jika dibeli di farmasi. Malah ketika tinjauan secara penyamaran, ada doktor memberikan ubat termasuk antibiotik yang tidak diperlukan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihak berkuasa wajar memantau dan mengkaji langkah sesuai bagi membendung amalan itu.“Mungkin Kementerian Kesihatan boleh mengenakan had siling caj yang boleh dikenakan oleh klinik terhadap pemegang kad insurans perubatan bagi mengelak manipulasi harga yang melampau kerana kita memahami klinik juga menanggung kos operasi dan menunggu bayaran daripada syarikat insurans.

“Klinik juga wajar memaklumkan kepada pesakit mengenai perbezaan caj dikenakan tertakluk kaedah bayaran, sama ada tunai atau kad perubatan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna berikutan tiada makluman rasmi mengenai perbezaan kadar terbabit,” katanya.Susulan aduan dan maklumat diterima, wartawan BH Ahad melakukan tinjauan terhadap beberapa klinik swasta di sekitar Lembah Klang dengan menyamar sebagai pesakit yang menggunakan kad insurans perubatan dan tunai.Dalam tinjauan pertama terhadap sebuah klinik di bandar raya ini, dua wartawan menyamar sebagai pesakit yang mendaftar secara berasingan untuk mendapatkan rawatan bagi batuk dan selesema.Selepas menunggu hampir 10 minit, ‘pesakit pertama’ yang mendaftarkan diri untuk membayar secara tunai, dipanggil bertemu doktor untuk diperiksa dan bayaran dikenakan untuk konsultasi serta dua jenis ubat adalah RM50.

‘Pesakit kedua’ dipanggil masuk bertemu doktor yang sama lima minit kemudian dan selepas diperiksa serta mendapat ubat, dia menerima pemberitahuan kadar caj menerusi aplikasi pada telefon pintar berjumlah RM55.Ini menunjukkan pemilik kad insurans membayar lebih mahal RM5 berbanding pesakit yang membayar tunai bagi rawatan dan ubat yang sama.Di sebuah klinik lain, wartawan dikenakan caj RM150 bagi sekotak ubat kolestrol, sedangkan tinjauan harga di farmasi mendapati ia hanya dijual pada harga RM80.Dalam tinjauan di sebuah klinik swasta lain pula mendapati, bayaran bagi penggunaan kad perubatan dan tunai hanya berbeza RM1.Dua wartawan BH sekali lagi menyamar menjadi pesakit yang ingin mendapatkan rawatan batuk serta sakit tekak dengan `pesakit pertama' pada mulanya dikenakan bayaran sebanyak RM92 ketika ingin membuat bayaran secara tunai bagi tujuh jenis ubat yang dipreskripsi oleh doktor.Namun ‘pesakit pertama’ memberi alasan terlupa untuk mengeluarkan duit daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan meminta transaksi itu ditukarkan kepada aplikasi panel insurans.

Sebaik melihat bil melalui aplikasi insurans yang sudah dikemas kini, ‘pesakit pertama’ melihat caj dikenakan ialah sebanyak RM93 iaitu peningkatan sebanyak RM1.Selesai urusan ‘pesakit pertama’, ‘pesakit kedua’ yang kononnya menghidapi batuk dan sakit tekak meskipun berada dalam keadaan sihat pula dipanggil doktor.‘Pesakit kedua’ diberikan lapan jenis ubat seperti 'pesakit pertama' membabitkan ubat alahan, selsema (pagi dan malam), batuk, kumur, radang dan kahak.Namun ‘pesakit kedua’ terkejut apabila mendapati turut diberikan ubat antibiotik walaupun ketika tinjauan itu berada dalam sihat.Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada wujudnya unsur manipulasi oleh doktor dengan memberikan ubat tambahan yang tidak perlu kepada pesakit menggunakan kad insurans perubatan.

Seorang doktor klinik swasta di Ampang yang enggan nama disiarkan, berkata tidak semua pengamal perubatan mengenakan caj berbeza bagi penggunaan kad perubatan panel insurans dan bayaran tunai.“Klinik saya mengenakan caj yang sama. Sepatutnya tiada diskriminasi bagi pembayaran menggunakan kad panel atau wang tunai kerana setiap pemilik klinik harus mematuhi perjanjian mengikut Organisasi Penjagaan Terurus (MCO) / Pentadbir Tuntutan Perubatan Pihak Ketiga (TPA),” katanya.Mungkin Kementerian Kesihatan boleh mengenakan had siling caj yang boleh dikenakan oleh klinik terhadap pemegang kad insurans perubatan bagi mengelak manipulasi harga yang melampau kerana kita memahami klinik juga menanggung kos operasi dan menunggu bayaran daripada syarikat insurans.

Mohd Yusof Abdul Rahman, Timbalan Presiden FOMCA