PUTRAJAYA 24 Sept. - Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dijangka akan menerima lebih banyak aduan selepas Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 (Pindaan) 2019 berkuat kuasa 1 Oktober ini.Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz berkata, pindaan akta yang melibatkan peningkatan had nilai tuntutan itu dilihat mampu memperkasakan hak pengguna seiring peningkatan kuasa beli rakyat.Selain itu katanya, pindaan tersebut akan memastikan peranan TTPM kekal relevan ketika mendepani isu pertikaian dan tuntutan kepenggunaan yang semakin kompleks."Perkembangan ekonomi yang pesat menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat melebihi nilai RM25,000 seperti pembelian kereta, motosikal dan pengubahsuaian rumah sekali gus menyebabkan pengguna hilang kelayakan membawa kes ke TTPM untuk diadili.

"Bilangan aduan dijangka akan terus bertambah dan kementerian telah bersedia sepenuhnya dari segi logistik dan penugasan kakitangan bagi menangani aduan yang bakal diterima," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Advokasi Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Pindaan) 2019, di sini hari ini.Sebagai rekod, KPDNHEP meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi meningkatkan had nilai tuntutan dari RM25,000 kepada RM50,000.Pindaan tersebut bertujuan meningkatkan hak pengguna dan memastikan peranan serta fungsi TTPM kekal relevan dalam mendepani cabaran isu pertikaian dan tuntutan kepenggunaan. - UTUSAN ONLINE.