KUALA LUMPUR 24 Sept. - Faktor pendapatan yang rata-ratanya rendah berbanding harga rumah yang tinggi antara punca ramai pembeli menangguhkan impian memiliki kediaman sendiri.Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dalam menangani isu pemilikan rumah mampu milik ini, ia perlu ditangani secara perlahan-lahan dan tidak begitu drastik.Ini kerana katanya, tahap gaji dan upah tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya kerana ia perlu seiring dengan tahap kemahiran dan produktiviti.Jelas beliau, selain itu, harga rumah tidak boleh turun secara mendadak kerana ini boleh menimbulkan suasana kejutan negatif kepada sistem ekonomi negara, justeru, perlu ada strategi mapan supaya ia boleh menghasilkan situasi menang-menang bagi bakal pembeli rumah, pemaju perumahan, institusi perbankan dan kerajaan secara amnya.“Dalam hal ini, menggalakkan orang ramai yang belum mampu membeli rumah untuk menyewa adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

“Menggalakkan mereka yang belum mampu memiliki rumah untuk meminjam bagi tujuan pembelian rumah hanya boleh mengundang masalah terutama jika mereka ini tidak mampu untuk membayar ansuran pembiayaan perumahan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Semalam, data yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mendapati bilangan kediaman tidak terjual di negara ini meningkat 1.5 peratus kepada 32,810 unit pada separuh pertama tahun ini dengan nilai RM19.76 bilion. Daripada jumlah itu, 43 peratus terdiri daripada kondominium dan apartment.Sementara itu, Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd. Redza Abdul Rahman berkata, tiada keperluan untuk menjual rumah terutama berharga kurang RM300,000 kepada orang luar.Sebaliknya, beliau berpendapat, penambahbaikan dari segi kemudahan di dalam kawasan perumahan itu sendiri atau penyediaan kemudahan luar perlu bagi menarik minat pembeli.

“Contohnya, ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah sudah tentu menitik beratkan kemudahan sekolah rendah dan menengah berdekatan serta jalinan jalan raya dan kemudahan bas sekolah.“Ini kerana walaupun dalam julat harga berpatutan, sekiranya lokasi projek agak jauh serta berada di luar kawasan dengan ketiadaan kemudahan pengangkutan awam antara punca mengapa pembeli kurang minat,” katanya.Pembeli harus berfikiran rea­listik, katanya, di mana pada julat harga tersebut, adalah amat sukar untuk mendapat rumah teres dalam kawasan bandar disebabkan oleh harga tanah yang mahal.“Pembeli juga perlu berfikiran terbuka untuk tinggal di pangsapuri atau kondominium dahulu sebelum menaik taraf ke rumah teres pada masa hadapan bila keadaan kewangan keluarga mengizinkan,” katanya.