KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kaji selidik yang dijalankan Pusat Penyelidikan Kaji Selidik Universiti UCSI mendapati lebih separuh penduduk di sekitar Lembah Klang berpendapat penggunaan perbankan Internet tidak selamat kerana terdapat keburukan dalam sistem pembayaran elektronik.Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan Kaji Selidik UCSI, Penolong Prof. Dr. Noppadon Kanika berkata, perbankan dalam talian boleh menjurus kepada pencerobohan maklumat peribadi, pelbagai jenis scam, penggodaman, kecurian identiti dan sebagainya.Menurutnya, kajian tersebut melibatkan sejumlah 65.5 peratus daripada 551 penduduk yang dijalankan pada 1 hingga 27 Ogos lalu dan berdasarkan kajian itu majoriti penduduk di Lembah Klang menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian bagi pelbagai tujuan transaksi.

“Hasil kajian ini menunjukkan terdapat 457 individu yang menggunakan sistem pembayaran dalam talian sekurang-kurangnya melalui satu atau dua bank. Walaupun mereka berasa takut dengan risiko menggunakan perbankan dalam talian, 7.5 peratus daripada responden mengakui bahawa mereka melakukan transaksi wang secara dalam talian kerana ianya lebih cepat dan mudah.“Ramai yang berasa senang apabila menggunakan perkhidmatan bank dalam talian, walaupun mereka takut dengan kewujudan penggodam dan pencerobohan identiti yang boleh berlaku.

“Setelah ujian pada data menerusi net promoter score dijalankan, didapati mereka tidak menyarankan pada rakan dan keluarga mereka untuk menggunakan perkhidmatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Dalam pada itu, Noppadon berkata, sebagai langkah pencegahan, pihak bank diminta untuk mempertimbangkan menaikkan imej korporat dengan menggunakan taktik ‘OnAir-Online-OnGround’.Tambahnya, langkah tersebut dapat meyakinkan pengguna untuk menggunakan perbankan dalam talian tanpa was-was.“Bank yang menggunakan taktik ini boleh mempromosikan jenama mereka menerusi rangkaian stesen televisyen, dan memaparkannya menerusi dalam talian sebagai contoh YouTube, Facebook, Instagram dan pelbagai lagi.“Dalam masa sama, mereka perlu adakan satu aktiviti turun padang yang dapat memenuhi kehendak dan permintaan pelanggannya serta menaikkan lagi penyertaan pelanggan yang secara tidak langsung mampu menaikkan jumlah pengguna perbankan dalam talian,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE