GEORGETOWN: Kerajaan bakal memperkenalkan sistem pembelian barangan keperluan menerusi konsep perniagaan e-dagang, dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata konsep itu dicetuskan selepas melihat sistem operasi e-dagang sebuah syarikat peruncitan dalam talian terkemuka di China, JD.com (JD), menerusi lawatan baru-baru ini.“Di China, kami melihat bagaimana JD menguruskan syarikatnya yang menjual hampir semua barangan keperluan pengguna hanya melalui platform e-dagang.“Misi kami adalah belajar dan memahami sistem mereka. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mahu kita belajar daripada mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ASEAN Products Trade Centre (APTC) di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, cadangan pelaksanaan sistem itu sudah dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan menerima reaksi positif semua pihak.Katanya, kementerian mempunyai pasukan khusus untuk membangunkan platform e-dagang berkenaan, selain menghantar beberapa pegawai tinggi menjalani latihan intensif.“Kita tiada jangkaan bila sistem ini dapat digunakan, tetapi berusaha untuk membangunkan e-dagang supaya dapat membantu meringankan beban rakyat,” katanya.