Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

PADANG BESAR, 3 Julai (Bernama) -- Pengeluar gula bertapis, MSM Malaysia Holdings Bhd, anak syarikat 51 peratus milik FGV Holdings Bhd, akan memperkenal produk berasaskan gula yang mengandungi manfaat kesihatan, dalam usaha meningkatkan lagi perolehan syarikat.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata produk itu bagaimanapun masih di peringkat kajian bersama pasukan penyelidikan dan pembangunan syarikat induk.“Produk berkenaan dijangka diperkenalkan pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini. Kita tahu masyarakat telah bersedia dan mahukan produk berasaskan kesihatan. Ramai yang mahu produk gula yang tidak menyebabkan kencing manis, obesiti dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

MSM mengeluarkan gula bertapis putih pelbagai saiz sehingga gula perang halus yang dijual dalam pelbagai bentuk pilihan pembungkusan di bawah jenama Gula Perai.Khairil Anuar berkata produk baharu tersebut dijangka membawa kepada peningkatan perolehan syarikat.Beliau berkata, selain itu, perbincangan secara berterusan dengan kerajaan mengenai masalah yang dihadapi pengeluar industri akan dipergiatkan dari semasa ke semasa sebagai pengeluar gula di negara ini.“Kerajaan menentukan segala bentuk dasar negara. Jadi kita akan terus berunding dan mengadakan perbincangan dengan mereka (kerajaan). Kerajaan sentiasa mendengar masalah pengeluar industri,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan mesin penyejuk air kepada 10 sekolah oleh Kumpulan MSM di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Keteri di sini.Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penyerahan tersebut sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-76 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.Sekolah yang menerima sumbangan ialah SK Bukit Keteri, Sekolah Rendah Islam 1, SK Tengku Budriah, SK Datuk Wan Ahmad, Sekolah Rendah Agama Al-Islahiyah, SK Kampung Salang, SK Jalan Raja Syed Alwi, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Alawiyah Ad-Diniah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) dan SMA Al-Islahiyah.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.Sementara itu, semasa bertitah Tuanku Syed Faizuddin mahu badan korporat dan swasta sentiasa berganding bahu dengan kerajaan negeri dan pusat dalam menyediakan persekitaran yang mampan serta kemudahan bermutu tinggi dalam usaha meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.

-- BERNAMA