Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

NILAI - Sebuah kawasan hutan berkeluasan hampir setengah hektar bersebelahan Kawasan Perindustrian Taman Melur, Batang Benar, Mantin dekat sini musnah akibat dicemari cecair dipercayai mengandungi bahan kimia.Cecair berkenaan dipercayai dilepaskan ke kawasan hutan tersebut secara haram dari sebuah kilang memproses aluminium yang terletak di kawasan perindustrian itu.Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab kilang itu mengakibatkan pokok di kawasan hutan itu mati dan tanahnya tercemar."Cecair yang dihasilkan kilang itu disalurkan ke luar kawasan kilang. Kilang ini mempunyai mesin untuk merawat cecair itu, tetapi rosak dan mereka lepaskan ke kawasan hutan.

"Kita dapati kawasan hutan itu ditenggelami cecair tersebut sedalam satu meter menyebabkan pokok-pokok di situ mati," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan di kilang berkenaan dan meninjau kawasan hutan yang terjejas di sini hari ini.Veerapan menegaskan, hasil buangan dari kilang itu sepatutnya dilupuskan di tempat yang dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan seperti di Pusat Kualiti Alam.Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari berkata, pihaknya mengesan pencemaran itu semalam menggunakan dron semasa melakukan pemeriksaan berkala di kawasan perindustrian tersebut.Menurut beliau, kilang itu diarahkan menghentikan operasinya selama 14 hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh JAS Negeri Sembilan dan jika perlu arahan tersebut akan dilanjutkan.

Jelas beliau, jika siasatan menunjukkan berlaku pelanggaran undang-undang, maka kilang aluminium berkenaan boleh dikenakan tindakan mahkamah dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.Tambah beliau, JAS Negeri Sembilan juga sedang membuat proses jajaran di lokasi terjejas bagi memastikan cecair tersebut tidak mengalir ke mana-mana sungai berhampiran."Kita juga sedang mengenal pasti risiko kesihatan keatas manusia dengan menghantar sampel cecair itu ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti bahan kimia yang terkandung di dalam cecair itu," katanya. - K! ONLINE