Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, termasuk membabitkan kematian disebabkan demam campak.Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan, termasuk tiga kematian disahkan setakat ini.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis (tibi), melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.“Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin (Mump, Measles dan Rubela) serta 30 peratus bagi suntikan dos kedua.“Pasukan kesihatan sukar memberi perkhidmatan kesihatan menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, jangkitan virus demam campak amat mudah merebak dengan satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 hingga 18 individu lain.Katanya, jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang dijangkiti, tetapi demam campak boleh dicegah dengan imunisasi.“Gejala penyakit demam campak adalah demam dengan batuk, selsema atau mata merah (konjunktivitis), diikuti ruam selepas beberapa hari.“Komplikasi jangkitan demam campak berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak dan individu yang mengalami kekurangan zat makanan serta tahap imuniti yang rendah.“Komplikasi demam campak termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak, otitis media dan kematian. Kadar kematian kes demam campak lazimnya kurang satu peratus, namun boleh setinggi tiga hingga enam peratus jika mengalami kekurangan zat makanan,” katanya.Berikutan itu, beliau mengarahkan tindakan pencegahan dan kawalan wabak termasuk carian kes secara aktif di perkampungan Orang Asli terbabit serta perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini.

Katanya, vitamin A juga diberi kepada semua kanak-kanak bagi kes demam campak yang dirawat, bertujuan meningkatkan sistem imuniti memandangkan mereka mengalami kekurangan zat makanan.“Aktiviti imunisasi kepada semua penduduk Orang Asli di lokasi terbabit turut dilaksanakan, selain menjalankan pendidikan kesihatan kepada penduduk termasuk sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan dan keresahan.“Kita juga mempertingkatkan Infection Prevention Control (IPC) di fasiliti kesihatan dan sentiasa mengamalkan penggunaan alat perlindungan diri bersesuaian,” katanya.Dr Dzulkefly turut mengarahkan negeri lain mempertingkatkan pemantauan dan liputan imunisasi komuniti Orang Asli di negeri masing-masing.

“Pihak negeri perlu memaklumkan segera kepada kementerian jika ada kluster kes atau kematian yang ada gejala sama,” katanya.Mengulas kematian terbaru kelmarin, beliau berkata, kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan itu hanya seberat tujuh kilogram (kg), berbanding 13kg bagi kanak-kanak normal pada usia berkenaan, sekali gus kekurangan zat dan amat berisiko apabila terkena jangkitan.