MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 19 lokasi panas atau ‘hotspot’ sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kes lemas sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini.Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata kebanyakan lokasi panas itu terletak di pantai timur seperti Air Terjun Sekayu, Terengganu; Pantai Nipah, Bachok; dan Muara Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.“Kesemua 19 lokasi itu disenarai berdasarkan kekerapan berlakunya kejadian lemas melebihi lima orang dalam tempoh tiga tahun ini.“Tahun lalu sahaja, ada kira-kira 400 kematian direkodkan akibat lemas membabitkan aktiviti air di seluruh negara,” katanya pada sidang media pada Majlis Jalinan Mesra Ramadan 2019 di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, di sini, malam tadi.

Dalam konteks sama, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya turut mengenal pasti 39 lagi kawasan lain membabitkan lokasi perkelahan seperti air terjun, pantai dan sungai yang dikategorikan sebagai berisiko.Justeru, beliau berkata, JBPM akan menempatkan pasukannya melakukan rondaan di lokasi dikenal pasti, sekali gus menjimatkan masa bagi usaha menyelamat lebih cepat sekiranya berlaku kecemasan.“Selain itu, kita akan menjalankan kempen keselamatan di air kerana lazimnya pada musim cuti, orang ramai akan menghabiskan masa berekreasi dan berkelah.“Bomba juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk meletakkan topografi di kawasan terbabit kerana pengunjung, terutama dari luar, tidak mengetahui keadaan pantai dilawati,” katanya.