KUALA LUMPUR 12 Mei - Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 perlu dipinda serta dijadikan kriteria tambahan pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi taman permainan kanak-kanak.Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha tersebut merupakan keperluan dalam mengamalkan budaya mencegah kemalangan dan memastikan keselamatan taman permainan kanak-kanak terjamin.Katanya, buat masa ini pihak yang terbabit perlu melaksanakan audit keselamatan setiap tahun di semua taman permainan kanak-kanak di seluruh negara untuk membantu mengenal pasti masalah dan mengambil tindakan untuk mencegah kemalangan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjalankan audit tersebut dengan bantuan agensi pakar. Mereka juga harus mendapatkan perkhidmatan inspektor keselamatan taman permainan bertauliah untuk membantu kontraktor memasang dan menyelenggara taman permainan di bawah bidang kuasa mereka.“Kita perlu sentiasa proaktif dan bukannya bersikap reaktif apabila berhadapan dengan perkara yang boleh menyebabkan kemalangan atau kecederaan akibat kecuaian atau penyelenggaraan yang lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini. - UTUSAN ONLINE