KUALA LUMPUR: Laporan awal kajian rantaian bekalan 10 barangan terpilih mendapati wujud kegiatan ‘kartel’ yang mengaut keuntungan pada kadar terlalu tinggi.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika mendedahkan perkara itu berkata laporan awal berkenaan secara tidak langsung mengesahkan kewujudan kartel yang menguasai penjualan barangan ‘popular’ dalam kalangan pengguna di pasaran.Katanya, hasil maklum balas dan perbincangan dengan beberapa penggiat industri menyaksikan margin atau perbezaan harga terhadap satu daripada 10 barangan berlaku di peringkat pengimport ke pemborong.“Saya bukan sekadar baca laporan, sebaliknya panggil industri berkaitan dan tanya apakah harga ketika barang itu keluar dari tempat mereka.

“Mereka beri satu senarai harga, bukan saja tahun ini, tapi lima hingga enam tahun lalu dan bila dibandingkan dengan data majlis harga barang negara, bawah kementerian saya, harga akhir pengguna tinggi.“Pengambilan untung terhadap item ini tercetus di peringkat import ke pemborong, menjangkau 133 peratus kerana pengguna tiada pilihan alternatif.“Item ini diimport 100 peratus, tiada satu pun dihasilkan dalam negara ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di sini, hari ini.Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata laporan awal kajian rantaian bekalan barangan terpilih bagi mengesan pola perubahan harga secara ketara di pasaran dibentangkan untuk penelitian Kabinet pada 24 April lalu.Ditanya jenis barangan yang dimaksudkan, Saifuddin bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terbabit kerana ia berupaya merencatkan proses risikan dan penyiasatan dikendalikan bahagian penguatkuasaan.

Beliau berkata, pegawai penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerlukan beberapa maklumat sebelum mengambil keputusan untuk ‘menziarahi’ premis berkaitan.“Kalau kita beritahu awal, penguat kuasa (KPDNHEP) susahlah nak dekat, jadi jangan sebut dulu sebab (kita khuatir) dokumen boleh (diubah) macam-macam.“Akhir sekali, saya tidak menolak kemungkinan untuk kongsikan dengan awam, biar mereka tahu keadaan itu dan berupaya memahami,” katanya.Memberikan contoh lain, Saifuddin berkata, laporan awal kajian dan maklum balas penggiat industri turut menyaksikan wujud kenaikan harga menjangkau 67 peratus, terhadap satu daripada 10 item popular yang dikesan berlaku di peringkat pemborong ke pengedar.

Sehubungan itu, katanya, kajian berkenaan diyakini berupaya merungkai isu penguasaan kartel bersandarkan maklumat rantaian bekalan 10 barangan pengguna, khususnya membabitkan peratusan margin harga secara tepat dan memberi ruang pegawai penguat kuasa bertindak lebih awal.“Mereka (kartel) menguasai wilayah tertentu dan ia sistem yang sudah wujud sekian lama. Isu seterusnya, kalau sudah tahu, apa tindakan kerajaan? Ia tidak boleh didedahkan, namun ingin saya jelaskan bahawa aspek berkenaan dalam pemerhatian.“Sekiranya berkesan, bayangkan kita perluas (mekanisme penguatkuasaan) kepada 30 atau 40 barangan supaya kegiatan menguat keuntungan secara berlebihan dapat dikurangkan, demi melindungi pengguna,” katanya.