Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan meneliti cadangan untuk pemberian subsidi elaun dan gaji kepada graduan tempatan melalui majikan yang menggaji mereka.Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata cadangan itu dikemukakan pada Mesyuarat Khas Kabinet di Perdana Putra, semalam.Katanya, subsidi tidak langsung itu akan diberikan melalui syarikat yang sukarela untuk melaksanakannya.“Kita ada cadangan tetapi belum ada keputusan. Kita akan kaji sama ada kita ada wang cukup atau tidak (bagi menyediakan subsidi berkenaan),” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Platform e-Dagang Digital Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ASEAN di sini, hari ini.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan kerajaan berhasrat untuk menyediakan RM6 bilion sebagai subsidi elaun dan gaji bagi membantu 50,000 orang muda mendapatkan pekerjaan.Sumber memberitahu, dalam Mesyuarat Khas Kabinet semalam, kerajaan mempertimbang untuk menyediakan elaun RM700 hingga RM1,000 kepada graduan baharu.Dr Mahathir berkata, mesyuarat semalam membincangkan masalah lambakan pekerja asing di negara ini, yang mengambil peluang bekerja di sini kerana orang tempatan yang tidak mahu bekerja dalam bidang tertentu.“Jadi salah satu sebabnya mungkin kerana upah yang tidak begitu tinggi, tetapi kalau upah terlalu tinggi, barangan kita akan menjadi terlalu mahal sehingga tidak boleh bersaing dengan barangan negara lain.“Justeru, ada pihak yang membuat cadangan kalau boleh kita buat subsidi tidak langsung. Dengan cara itu, gaji dan pendapatan akan meningkat, pekerja kita akan bekerja serta tidak lagi bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata, setiap tahun, negara kerugian berbilion ringgit kerana pekerja asing menghantar balik pendapatan yang diperoleh ke negara asal mereka.“Dalam mana-mana negara pun, kalau duit mengalir keluar, negara itu akan menjadi miskin.“Jadi, kalau boleh kita tak naklah duit kita mengalir keluar. Kalau kita dapat guna pekerja kita sendiri, maka duit itu akan berada dalam negara,” katanya.