Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

JASIN: Dua pemilik premis kolam ternakan ikan keli yang dipercayai menjadi punca pencemaran ammonia di Sungai Batang Melaka bakal dikenakan tindakan undang-undang.Ketua Menteri Adly Zahari berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang telah mengakibatkan kualiti air mentah di sungai berkenaan merosot dan lebih 18,000 pengguna di seluruh daerah Alor Gajah terjejas."Jaminan kita kepada pengguna air, kita akan pastikan mereka mendapat bekalan secukupnya. Kerana, sistem yang kita ada di peringkat Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) ini, kita boleh pastikan bekalan cukup."Kita tak menghadapi masalah untuk memberikan bekalan air minum, cuma masalah kita adalah gangguan kepada sistem saliran kita yang menjadi punca air," katanya di sini hari ini.Dalam masa yang sama, tambahnya, kerajaan negeri akan memastikan pengguna air yang terkesan akibat pencemaran itu tidak akan terganggu, dengan memberi bantuan bekalan air.

"Memang kita akan ambil tindakan kepada mereka yang tak ikut peraturan, sebab biasanya dalam kes pencemaran air ini, kita tak akan bertolak ansur," tegasnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Amanah Peduli Rakyat: Di Ambang Ramadan.Semalam, Astro AWANI melaporkan, lebih 18,000 pemilik akaun SAMB di daerah Alor Gajah terjejas selepas Loji Rawatan Air Gadek dicemari ammonia sejak Ahad (28 April) lalu.Hasil siasatan awal mendapati, air Sungai Batang Melaka tercemar teruk dipercayai akibat pelepasan air dari kolam ternakan ikan keli di kawasan Hutan Percha yang tidak sistematik.

Ekoran itu, dua premis kolam ternakan ikan keli berkenaan diarah menghentikan operasi serta-merta.Mengulas lanjut, Adly berkata, sejak tahun lalu lagi, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada agensi berkaitan untuk memantau semua syarikat industri, termasuk kolam ternakan ikan air tawar, bagi mengelak berlaku pencemaran.Malah jelasnya, kolam ternakan yang menternak ikan keli diberi perhatian khusus, ekoran menyedari risiko pencemaran daripada sisa buangan hidupan berkenaan lebih tinggi berbanding ikan air tawar jenis lain.Tambahnya, kerajaan negeri juga memberi jaminan kepada semua pengguna akan menyelesaikan isu pencemaran itu dalam kadar segera.Loji rawatan tersebut, yang terpaksa memberhentikan operasi pada Ahad, telah kembali beroperasi secara berperingkat bermula semalam.