Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

KANGAR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengemukakan 10 idea utama dalam Kertas Konsultasi Rakyat yang mengandungi dokumen dan maklumat berkenaan mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman.Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata 10 idea berkenaan akan dibahagikan kepada beberapa topik kecil dan setiap perbahasan didokumenkan selepas perbincangan meja bulat yang diadakan antara PTPTN bersama pakar dan ahli ekonomi sejak Disember hingga Mac lalu.Katanya, PTPTN menjangkakan dalam tempoh dua minggu lagi dokumen itu boleh diumumkan dan pihaknya kini masih menunggu keputusan penelitian daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan sebelum diberi ‘lampu hijau’ untuk membentangkannya kepada umum.

“Seperti yang semua sedia maklum sebelum ini, kita sudah duduk di meja bulat bersama pakar dari institusi kewangan, perbankan, pemegang taruh, pelajar dan pensyarah mengenai Kertas Konsultasi Rakyat.“Kesemua idea atau teras utama ini adalah idea daripada pakar dan ahli ekonomi yang mahir serta bukannya 100 peratus daripada PTPTN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Kepimpinan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Menengah di Negeri Perlis di Hotel Brasmana, di sini.Sebelum ini, NSTP melaporkan PTPTN akan membentangkan Kertas Konsultasi Rakyat mengandungi dokumen dan maklumat berkenaan mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman, pada suku ketiga tahun ini.Kertas yang mengandungi beberapa cadangan baharu itu diperoleh hasil perjumpaan meja bulat PTPTN bersama badan bukan kerajaan (NGO), ahli ekonomi, institusi perbankan serta pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pelajar, yang diadakan sejak Disember sehingga Mac lalu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, antara tumpuan 10 teras berkenaan merangkumi kaedah yang lebih sistematik dan idea pembayaran pinjaman balik selain beberapa perbahasan baru turut diutarakan.“Kita akan mendokumenkan kesemuanya, ada idea yang meminta PTPTN melaksanakan semula penyenaraian hitaman peminjam dari melancong ke luar negara, malah ada juga cadangan peratusan pembayaran balik dikaji semula.“Tapi itu semua idea yang kasar dan belum ditapis, selepas kertas itu dibentangkan, kita akan beri masa selama tiga minggu kepada rakyat untuk mereka memberikan maklum balas kepada Kertas Konsultasi Rakyat atau 10 idea berkenaan,” katanya.