Program usaha berterusan kerajaan pastikan tenaga kerja dilindungi

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia menganjurkan program Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019 di Dataran Putrajaya, hari ini.Program bertemakan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Masa Hadapan itu dipilih Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang disambut di negara ini sejak 2006.Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah, berkata program itu usaha berterusan kerajaan, sejajar Rangka Kerja Promosi Untuk Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2006 yang diratifikasi bagi memastikan pekerja di negara ini dilindungi sebaiknya sepanjang mereka menjalankan tugas.

Katanya, bagi menyemarakkan usaha itu, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia, Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP dengan kerjasama pertubuhan majikan serta kesatuan sekerja bersepakat merangka dan mewujudkan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN).“DKKPN diluluskan Jemaah Menteri ini ditandatangani Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Januari lalu dan menjadi sebahagian Pelan Induk KKP 20162020.“DKKPN bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta titik tolak kepada perubahan landskap KKP, menerusi pengurusan risiko mampan di tempat kerja dalam melindungi majikan dan pekerja ke arah menyumbang peningkatan produktiviti dan daya saing negara,” katanya.DKKPN itu terpakai kepada semua tempat kerja, majikan dan pekerja yang tertakluk mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan perlu disemak semula secara berkala.Beberapa ciri utama terkandung dalam kerangka DKKPN membabitkan undang-undang (akta dan peraturan); agensi penguatkuasaan; mekanisme penguatkuasaan (audit, pemeriksaan dan tindakan punitif); promosi; badan penasihat tripartite dan mekanisme pengumpulan serta analisis data mengenai kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Majikan, pekerja berganding bahu

Omar berkata, sebelum ini komitmen terhadap isu KKP ini hanya lantang disuarakan kerajaan, namun selepas ini majikan dan pekerja sendiri perlu berganding bahu serta memberi komitmen padu kepada DKKPN bagi mencapai matlamat budaya pencegahan isu terbabit.Beliau berkata, DKKPN mesti dihormati majikan dan pekerja, jika tidak dilaksanakan akan mengakibatkan pelanggaran perundangan berkaitan KKP dan tindakan punitif akan diambil JKKP seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan.

Bagi memberi penerangan dan pemahaman kepada pihak industri, Omar berkata, JKKP dengan kerjasama MNKPP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan Kempen Menandatangani Komitmen DKKPN di seluruh negara.“Kempen dari 1 hingga 20 April lalu itu bertujuan memberi kefahaman kepada pihak industri berkenaan elemen terkandung dalam DKKPN, bertujuan mendapatkan komitmen pihak majikan dan pekerja bagi membentuk budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.“Hasil tandatangan dikumpul pada Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2019 itu bagi menunjukkan komitmen dan sokongan majikan serta pekerja meningkat tahap KKP di negara ini.“Dalam masa terdekat, beberapa langkah tambahan akan diadakan bagi memantapkan lagi tahap KKP negara dengan membuat pindaan perundangan dan piawaian, selaras kehendak semasa.

“Antara akan dirangka ialah Program KKPN baharu, iaitu Pelan Induk KKP 2021-2025, pengurusan KKP di tapak bina membabitkan pereka bentuk, perunding dan pemaju serta cadangan integrasi KKP dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).“Selain itu, cadangan mewujudkan pelaporan kemalangan dan penyakit pekerjaan berpusat serta mengadakan sistem integrasi maklumat dan penguatkuasaan tempat kerja pada peringkat kementerian,” katanya.Omar berkata, masih terdapat pihak industri gagal mematuhi undang-undang itu dan 42,386 Surat Arahan Pematuhan dikeluarkan tahun lalu dengan 318 kes pendakwaan;kompaun (945); notis (27,024), manakala siasatan aduan serta kemalangan di tempat kerja ialah 5,169.

Pampasan PERKESO RM3.27B

Pada 2017, katanya, berdasarkan statistik JKKP, 42,513 pekerja terbabit kemalangan di tempat kerja dengan 711 kes kemalangan maut membabitkan bayaran pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM3.27 bilion dan ILO menganggarkan kerugian menyamai hampir empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan dan penyakit pekerjaan.“Kerajaan akan mengadakan pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan antara cadangan pindaan, termasuk menaikkan penalti maksimum bagi pelanggaran peruntukan perundangan serta memperkenalkan peruntukan perundangan lebih terperinci bagi menjelaskan isu seperti kewajipan kontraktor utama.

“Semua pihak perlu mewujudkan persekitaran kerja selamat dan sihat kerana ia akan memberi kesan positif kepada pekerja dan institusi kekeluargaan.“Sekiranya berlaku kemalangan, kesannya bukan saja ditanggung pekerja, malah kesejahteraan keluarga terjejas termasuk anak, isteri dan ahli keluarga lain,” katanya.