SUNGAI PETANI: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 yang diadakan di Amanjaya Mall sejak Jumaat lalu menarik minat pasangan muda menyimpan dalam bentuk pelaburan untuk anak-anak.Tinjauan sejak jam 10 pagi tadi mendapati ibu bapa berusia lingkungan 20-an memenuhi ruang pameran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi mendapatkan maklumat dan membuka akaun.Kakitangan kerajaan, Muhammad Syuhaiemie Mat Noh, 27, berkata beliau memilih untuk menyimpan di ASNB kerana mempunyai banyak kelebihan dan memberi pulangan yang berbaloi.

“Kami mendapat maklumat mengenai ASNB ini menerusi kawan-kawan selain turut membuat pembandingan dengan institusi kewangan lain.“Ini demi kebaikan anak saya (Ayra Damia, 2) pada masa depan kerana sudah mempunyai simpanan apabila dia dewasa nanti,” katanya ketika ditemui.Sementara itu, pekerja hotel, Mohammad Nuraffandy Muzzafa, 24, berkata hasrat untuk melihat anaknya berusia setahun serta dua lagi anak tirinya berusia sembilan dan lima tahun memiliki simpanan sendiri tercapai apabila beliau membuka akaun mereka, hari ini.“Program seperti MSAM ini bagus dalam mendidik masyarakat menabung untuk anak-anak demi depan.“Saya memilih ASNB kerana percaya dengan keupayaannya memberi pulangan kepada pelabur,” katanya.