Syabas diucapkan kepada Kementerian Tenaga, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar kerana menyekat kemasukan sisa plastik tercemar dan terlarang di pintu masuk negara. Kita percaya jika usaha ini berterusan, isu kewujudan kilang kitar semula yang beroperasi secara haram di seluruh negara dapat diatasi, malah pembuangan haram sisa tercemar dan terlarang juga dapat dielak berlaku.

Dalam tindakan itu, kita berharap kerajaan bertegas menggunakan Konvensyen Basel yang ditandatangani untuk menuntut negara pengimport sisa plastik tercemar itu mengambil balik bahan berkenaan yang ditahan di pelabuhan negara. Bukan sekadar 24 kontena, tetapi 129 lagi kontena yang mempunyai kandungan plastik terpakai di Pelaburan Barat dan Utara ketika ini. Beban kos harus ditanggung negara pengimport itu.

Selain itu, isu salah guna kuasa di pelabuhan negara juga harus dilihat secara serius. Jika benar ada, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dilibatkan.Apa yang penting, operasi dan serbuan haruslah dibuat berkala. Ia penting untuk kita memberi mesej serius kepada dunia, bahawa Malaysia bukanlah tong sampah sisa toksik kepada negara maju.

 26plastik_1556161216.jpg

 Gambar fail, longgokkan sisa plastik import ketika tinjauan di kilang sisa plastik haram dalam ladang kelapa sawit di Sungai Rambai, Jenjarom, Januari lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir

Biar sikit, janji menabung

Tanggungjawab menabung harus menjadi keutamaan ibu bapa agar masa depan anak khususnya dalam soal pembiayaan dana pembelajaran terjamin. Dalam hal ini, manfaat penambahbaikan skim insentif Geran Sepadan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus dimanfaatkan.

Ibu bapa khususnya dalam kelompok 40 peratus terbawah (B40) tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan untuk membiayai pembelajaran anak masing-masing. Justeru, keutamaan harus diberikan kepada usaha menabung sejak awal, agar tidak terbeban masalah sehingga ada yang menagih bantuan apabila anak diterima memasuki universiti kelak.

Kita harap ibu bapa dapat ubah sikap dengan menyahut peluang keemasan ditawarkan PTPTN ini untuk pelaburan masa depan anak mereka. Jika tidak mampu menabung banyak, simpanlah sikit tetapi dengan syarat secara berkala setiap bulan ikut kemampuan.