JPJeBid telah pun dilancarkan sebagai sistem bidaan plat nombor kenderaan secara dalam talian bermula 15 April lalu, dengan projek perintisnya bermula dengan siri plat FC. Sebagai permulaan proses bidaan untuk plat FC akan berakhir pada 19 April ini.

Dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, ia dijalankan secara perluasan skop sistem mySIKAP iaitu di bawah menu Pengurusan Nombor Pendaftaran. Proses-proses di dalam JPJeBid meliputi proses pengiklanan, pendaftaran, bidaan, bayaran dan juga ketetapan aplikasi dan akaun. Semua proses ini perlu dilakukan secara kendiri oleh pembida terlibat dan akan dikawal selia oleh pihak JPJ.Proses-proses di dalam JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat, mesra pengguna dengan menawarkan elemen-elemen yang berteraskan User Experience (UX) yang ringkas, meningkatkan kecekapan proses bidaan secara manual kepada secara dalam talian, persekitaran keselamatan sistem yang terjamin dan kebolehan mengakses sistem JPJeBid secara Online Real Time dimana-mana sahaja tanpa mengira masa.

Sistem ini terbuka untuk pendaftaran syarikat dan individu yang berminat untuk mendapatkan plat nombor spesifik. Pendaftaran menerusi portal MySIKAP adalah diperlukan dan individu terbabit harus menyertakan maklumat yang dikehendaki termasuklah salinan kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran.Manakala pendaftaran bagi syarikat pula harus disertakan dengan salinan sijil dan lesen pendaftaran perniagaan. Bagi mereka yang masih belum berdaftar dengan MySIKAP, boleh melakukannya di mana-mana cawangan JPJ yang berhampiran.Apabila pendaftaran diluluskan, pengguna boleh menggunakan sistem e-bidaan menerusi komputer atau pun telefon pintar. Dengan caj perkhidmatan sebanyak RM10 untuk setiap satu nombor yang dibida, yang tidak akan dikembalikan, di mana ia dianggap hasil untuk kerajaan.

Untuk bidaan, tiada had untuk membida nombor pendaftaran, tetapi bagi jumlah nombor yang dimenangi dihadkan tiga nombor pendaftaran bagi individu dan lima untuk syarikat. Kategori nombor pendaftaran untuk setiap nombor pula terdiri daripada semasa (atau yang sedang dijalankan), popular (untuk dua digit berganda, atau sesetengah tiga digit berganda), menarik (digit yang menarik) dan utama (nombor digit tunggal) dengan bidaan masing-masing bermula pada harga minimum RM300, RM800, RM3,000 dan RM20,000.Tiada bayaran deposit diperlukan, tetapi setiap pembida perlu membida sama atau lebih amaun daripada ketetapan harga minimum bagi setiap kategori. Di mana bidaan minimum akan meningkat sebanyak 5% daripada amaun harga minium bagi setiap kategori, tanpa had peningkatan maksimum.

Sebagai contoh, bidaan minimum akan meningkat sebanyak RM1,000 untuk kategori utama, RM150 (kategori menarik), RM40 (kategori popular) dan RM15 (kategori semasa). Walau tiada had untuk bidaan, namun pembida tidak dibenarkan untuk menarik semula bidaan mereka sepanjang tempoh bidaan.Pembida hanya boleh membuat pembayaran menerusi kad kredit tempatan sahaja. Pembayaran menggunakan kad debit adalah tidak dibenarkan. Apabila bidaan berjaya, amaun tersebut akan ditolak secara terus dari kad kredit terbabit. Bidaan yang tidak berjaya pula akan dibatalkan transaksinya dan amaun terbabit akan dikreditkan semula ke kad kredit terbabit, tanpa sebarang caj dikenakan.

Pembida yang berjaya dalam bidaan ini diberikan tempoh selama 12 bulan untuk menguruskan pendaftaran kenderaan dari tarikh surat yang dikeluarkan oleh JPJ, diikuti dengan surat tamat tempoh jika masih belum mendaftarkannya sehingga tarikh pendaftaran berakhir. Tiada tempoh pendaftaran lanjutan bakal diberikan, malah wang bidaan juga tidak akan dikembalikan sekiranya pembida terbabit gagal mendaftar nombor pendaftaran sehingga tamat tempoh.

Sekiranya pembida menerusi pendaftaran secara individual mahu memindahkan nombor pendaftaran yang berjaya dibida itu kepada keluarga, mereka perlu memberikan dokuman sokongan yang berkaitan (sijil kelahiran, sijil perkahwinan dan sebagainya). Manakala untuk syarikat pula, tidak dibenarkan memindah milik nombor terbabit sebelum ia didaftarkan untuk mana-mana kenderaan.

Untuk maklumat lanjut sila layari https://paultan.org/2019/04/18/sistem-bidaan-plat-nombor-kenderaan-jpjebid-dalam-talian-projek-perintis-bermula-dengan-plat-siri-fc/