Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

Kuala Lumpur: Mulai bulan depan, 800,000 daripada 3.94 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 50 tahun dan ke atas serta pasangan boleh menikmati manfaat perkhidmatan kesihatan di bawah projek printis Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40).Bagaimanapun, penerima BSH dan pasangan dikehendaki menyemak terlebih dulu secara dalam talian untuk memastikan mereka layak sebagai penerima skim Peka B40 menerusi laman web www.pekab40.com.my yang diaktifkan sejak Rabu lalu.Sumber berkata, sehingga hari ini, laman web berkenaan sudah menerima hampir 16,000 semakan kelayakan.Katanya, mereka yang penyakitnya sudah didiagnosis atau baru kali pertama hendak membuat saringan, layak membuat saringan kesihatan menerusi skim berkenaan.“Penerima BSH berusia 50 tahun dan ke atas bersama pasangannya yang didaftarkan dengan BSH kini boleh menyemak kelayakan mereka. Mereka yang layak, boleh membuat saringan kesihatan mulai April ini di klinik panel yang berdaftar dengan Peka B40.

Patut rebut peluang

“Penerima BSH yang layak patut merebut peluang menikmati manfaat yang diberikan oleh kerajaan ini kerana ia berasaskan kepada pendekatan ‘siapa dahulu, dia dapat’ kerana ini projek perintis,” katanya kepada BH, semalam.Peka B40 dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta dan akan menyediakan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.Saringan kesihatan yang dijalankan termasuk pemeriksaan kesihatan mental, payudara dan prostat jika perlu, manakala pemeriksaan makmal merangkumi ujian darah, diabetes, tahap kolestrol, air kencing dan fungsi buah pinggang.Melalui manfaat bantuan alat perubatan, penerima akan menerima bantuan dengan had maksimum RM20,000 (seumur hidup) terhad kepada kategori tertentu di hospital awam.

Bagi insentif melengkapkan rawatan kanser, sebanyak RM1,000 dibayar kepada pesakit yang melengkapkan rawatan di hospital awam dan bayaran secara berperingkat-peringkat bergantung kepada tahap rawatan.Insentif tambang pengangkutan yang diberikan adalah maksimum RM500 bagi Semenanjung dan RM1,000 bagi Sabah dan Sarawak bagi setiap penyakit.Menerusi skim itu, beliau berkata, kerajaan akan membayar RM60 kepada klinik panel berdaftar bagi setiap seorang pesakit.Katanya, bayaran itu membabitkan dua peringkat iaitu bayaran bagi saringan kali pertama sebanyak RM40 dan bakinya bayaran bagi perkhidmatan perundingan dan nasihat kepada pesakit.