Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

KUALA LUMPUR: Kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus pertengahan (M40) memerlukan inisiatif khusus supaya tidak ketinggalan dalam limpahan ekonomi digital.Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kumpulan berkenaan perlu diberikan pendedahan kepada ekonomi digital supaya mereka tidak ketinggalan jauh daripada arus pembangunan ekonomi berkenaan.Katanya, beliau tidak mahu ekonomi digital memberi kesan dan membuka jurang lebih lebar di antara bandar dan luar bandar seperti kesilapan yang dilakukan di beberapa negara lain.“Kita perlu mulakan insiatif baharu sekarang. Orang Melayu, Cina, India perlu turun ke bawah, ke luar bandar. Ini saya percaya akan mengubah paradigma lama.

“Kita perlu ke depan. Kita tidak seharusnya melupakan orang miskin,” katanya pada Digital Native Agenda (DNA23) yang disiarkan secara langsung di televisyen swasta, hari ini.DNA23 mengupas isu digital dalam masa yang sama bertujuan memperkasakan pihak berkepentingan dalam landskap digital negara.Tiga teras utama dalam DNA23, iaitu kemakmuran dan kebahagiaan; persediaan masa depan serta etika dan budaya. Ia dipecahkan kepada sembilan teras kecil, iaitu masa depan sosio-ekonomi yang segar, pengagihan peluang yang adil, persepsi positif terhadap negara, pembinaan kapasiti, pembangunan modal insan, urus tadbir yang telus, hak agama dan budaya, perpaduan dan harmoni, dan dialog yang berasaskan fakta.

Anwar berkata, ekonomi digital perlu dilaksanakan tanpa meminggirkan golongan miskin dan pertengahan dan dalam masa yang sama perubahan itu perlu dilakukan sekarang kerana era digital bergerak pantas.Katanya, tidak perlu kajian dilakukan untuk menghadapi perubahan digital yang hanya memakan masa, sedangkan tranformasi berlaku dengan begitu cepat sekali.“Lakukan sesuatu. Kita tidak mahu dalam hendak melaksanakan sesuatu, seperti pendidikan misalnya, kita nak kena lakukan kajian dahulu dan sebagainya. Ada yang makan masa sampai tiga tahun. Kita perlu lakukannya sekarang,” katanya.Beliau berkata, DNA23 bukannya agenda masa depan tetapi rancangan untuk masa kini yang perlu dilakukan segera akibat tekanan keperluan mendesak industri ekonomi digital.

Untuk meneruskan agenda ekonomi digital itu, Malaysia tidak boleh mengetepikan aspek sistem nilai, etika dan budaya sedia ada kerana ia tarikan untuk pelabur dalam industri berkenaan.Katanya, kerajaan perlu mempertahankan integriti dan menolak semua bentuk penyalahgunaan kuasa, rasuah yang dapat dijadikan modal menarik pelabur untuk membuka perniagaan mereka di negara ini.“Aspek kemanusiaan juga penting, terutama dalam membicarakan kepentingan umum walaupun kini di era globalisasi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata kerajaan percaya ledakan ekonomi digital akan membuka lebih banyak peluang kerja baharu dalam bidang komunikasi dan multimedia.Katanya, kerajaan kini menyediakan kemahiran baharu dan melatih generasi muda meneroka bidang kemahiran untuk mengisi bidang pekerjaan masa depan.“Kita percaya dalam era ekonomi digital ini membolehkan ramai yang boleh bekerja dari rumah seperti orang tua, wanita dan ibu tunggal,” katanya.