ALOR GAJAH - Sebanyak 30,000 biji telur gred A bernilai kira-kira RM10,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan ke atas sebuah kilang pengeluar telur yang dikesan menjual pada harga tidak munasabah di sini semalam.Ketua Seksyen Bekalan dan Harga Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Abd. Hafidz A. Rahim berkata, serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu dibuat hasil aduan orang ramai berhubung harga telur yang meningkat sejak Disember lalu.Menurutnya, aduan diterima pihaknya mendapati telur ayam gred A dijual pada harga borong 40 sen sebiji berbanding kira-kira 30 sen sebelum itu.“Hasil pemeriksaan dan semakan dokumen dilakukan ke atas kilang pengeluar ini, kita mengesyaki berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah.“Susulan itu kita merampas sebanyak 30,000 biji telur bernilai kira-kira RM10,000 untuk siasatan lanjut dan tindakan diambil mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.