Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

KUALA LUMPUR 3 Mac - Rancangan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih akan diteruskan seperti yang pernah dicadangkan biar pun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.Beliau berkata, ia perlu direalisasi bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik.“Apa yang disebut oleh calon kami sebelum ini adalah sesuatu yang mustahak memandangkan Klinik Kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang sudah uzur dan sesak.“Saya yakin kami akan dapat lokasi tanah dan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk menjayakan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Acara ‘Run For Rare’ dekat sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan anggaran masa berkaitan pembinaan klinik itu.Sebelum ini, calon PH Muhammad Aiman Zainali dilapor menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia adalah permasalahan paling banyak diutarakan oleh masyarakat setempat.Bagaimanapun pada 25 Februari lalu, Dr. Dzulkefly mencadangkan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan oleh kerana dua klinik di pekan Semenyih dan Beranang tidak boleh diperluaskan kerana kekangan tempat selain penambahbaikan fasiliti Hospital Kajang yang merupakan hospital terdekat di Semenyih.Semalam, keputusan PRK DUN Semenyih menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.Zakaria menewaskan Muhammad Aiman yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi). - BERNAMA

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pembinaan-klinik-di-semenyih-tetap-diteruskan-dzulkefly-1.852537#ixzz5hBo3Qd00
© Utusan Melayu (M) Bhd