HASRAT kerajaan ingin membantu golongan petani miskin di luar bandar wajar dialu-alukan kerana mereka terpaksa mengalami tekanan hidup tanpa memiliki pendapatan yang sentiasa terjamin. Mereka yang terpaksa menanggung perbelanjaan harian keluarga seperti orang lain kerapkali berasa gelisah apabila harga hasil tanaman mereka seperti getah dan kelapa sawit semakin terjejas di peringkat antarabangsa. Permintaan antarabangsa terhadap minyak kelapa seperti China menyebabkan harganya merudum sekali gus memberi kesan kepada pekebun kecil tempatan.Pesawah di utara Semenanjung juga mengalami pelbagai musibah tanaman sehingga menyebabkan hasil keluaran terjejas. Tambahan pula kerajaan sekarang mengurangkan bantuan sara hidup mereka.

Sehubungan itu beberapa langkah perlu diambil oleh pihak berwajib bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan harian atau bulanan petani serta pekebun kecil di luar bandar yang semakin terhimpit kehidupan masing-masing. Tidak ada guna dasar baharu digubal bagi memulihkan ekonomi negara sedangkan kesannya gagal mengatasi masalah sebenar dihadapi rakyat miskin seperti petani dan pekebun kecil.Penggunaan teknologi tinggi dalam sektor pertanian tidak semestinya berjaya mengubah nasib petani dan pekebun kecil terbabit sekiranya mereka masih memiliki saiz tanah seluas kangkang kera. Kerajaan terkini mesti berusaha mendapatkan pendapatan tinggi negara hasil daripada kutipan cukai terhadap industri perdagangan berskala besar supaya ia dapat dimanfaat dan disalurkan semula ke dalam pembangunan pelbagai sektor termasuk bidang pertanian.

Penulis bersetuju dengan cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar penggunaan tanah terbiar dalam bidang tanaman kontan dan ternakan lembu serta kambing dapat digiatkan secepat mungkin terutama melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap negeri melalui agensi kerajaan yang ditubuhkan sebelum ini. Selain ternakan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) memiliki tanah beribu hektar di negara ini boleh mengusahakan tanaman herba yang semakin mendapat permintaan tinggi dewasa ini.

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pakar tumbuhan herba terlatih di dalam dan luar negara bersama saintis perubatan tempatan perlu menjalankan kajian tentang khasiat ubatan tradisional secara lebih serius. Kebanyakan ubat-ubatan dijual di hospital, farmasi dan klinik diimport dari negara luar dengan kos agak mahal sedangkan kita ada bahan mentah seperti pokok tumbuhan herba yang mempunyai khasiat lebih kurang sama atau lebih baik. Sikap lebih percaya kepada ubat-ubatan luar negara yang dihasilkan saintis tertentu menyebabkan kita kurang yakin kebolehan sendiri dengan melihat potensi ubat-ubatan herba tradisional tempatan yang boleh dibuat dan dijual sendiri ke negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand.

Saintis tempatan kita kelihatan semakin malas menjalankan kajian sendiri di samping Kementerian Kesihatan terlalu ketat memproses dan mengeluarkan lesen menjual ubat yang diproses anak tempatan. Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan ramai pakar kajian tumbuhan herba yang boleh dimanfaatkan dan dijadikan ubat tanpa memberi kesan sampingan terhadap organ badan jika digunakan dengan cara yang betul tetapi tidak dilakukan sepenuhnya untuk membantu kerajaan dan rakyat berkepentingan dalam perniagaan industri perubatan di negara ini.

Undang-undang perlu digubal bagi mengawal keluarannya di samping proaktif ketika melihat peluang perniagaan baharu negara dalam sektor pembuatan ubat-ubatan tempatan secara besar-besaran. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban kerajaan dalam menanggung perbelanjaan memberi ubat percuma kepada rakyat di hospital dan klinik awam serta mengurangkan pengaliran wang tempatan ke negara asing.

Kebanyakan rakyat China sering menggunakan ubat-ubatan herba tradisional tempatan dalam usaha merawat pelbagai penyakit mereka. Percayalah, Allah menyediakan bermacam-macam tumbuhan herba di negara iniyang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit tetapi tidak diguna dan diusahakan sepenuhnya. Akhirnya syarikat memonopoli import ubat-ubatan dari Barat ini meraih keuntungan besar sedangkan kerajaan dan rakyat menanggung kosnya yang semakin meningkat. Kos perubatan rakyat akan berkurangan apabila harga ubat-ubatan herba tradisional tempatan berjaya menyaingi harga ubat-ubatan yang diimport dari luar negara. Ada kilang ubatan-ubatan moden diproses di kilang tempatan dengan menggunakan jenama tempatan, namun formula pembuatannya masih bergantung kepada saintis Barat kerana pengesahan mereka lebih diyakini berbanding saintis tempatan walaupun ada kesan sampingan terhadap penggunaannya.Fikir-fikirkan cadangan ini secara rasional dengan hati dan minda yang terbuka luas.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah perunding media dan penyelidikan sains politik tanah air.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/usaha-memanfaatkan-herba-kita-1.849433#ixzz5gio8okdY
© Utusan Melayu (M) Bhd