PELABUHAN KLANG: QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) menerusi anak syarikatnya, Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) melancarkan loji rawatan sisa air dan loji kitar semula patuh Syariah pertama di negara ini.Kedua-dua loji berkenaan dibangunkan dengan kerjasama anak syarikat MMC Corporation Bhd, Aliran Ihsan Resources Bhd (Aliran Ihsan), yang membuat pelaburan pendahuluan RM4 juta bagi kerja-kerja penambahbaikan dan pemasangan.Aliran Ihsan kemudiannya akan menjual semula air terawat daripada Loji Rawatan Sisa Air patuh syariah itu kepada QSR Brands dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran.Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata jalinan kerjasama yang akan berlangsung selama 13 tahun itu mendatangkan penjimatan yang besar kepada pihaknya.

“QSR Brands akan terus menggunakan modal perniagaan seumpama ini dalam perniagaan huluan kami. Selain projek ini, kami juga dalam perbincangan untuk projek seumpamanya di Bandar Tenggara, Johor dan saya berharap ia dapat direalisasikan menjelang akhir tahun ini.“Pelancaran loji ini juga adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk mencapai kelestarian alam sekitar secara berterusan di samping menjadikan operasi kilang lebih lancar dan bersih,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Aliran Ihsan, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.Selepas QSR Brands berunding dengan jabatan agama berkaitan, loji rawatan berkenaan dilengkapi dengan teknologi untuk merawat sisa cecair menjadi bersih, jernih dan tidak berbau.

Air itu dikategorikan sebagai air mutlak oleh pejabat Mufti Selangor dan penggunaan semula air terawat ini dijamin selamat serta mematuhi garis panduan pensijilan halal dan Syariah, selaras dengan keputusan yang diterbitkan Jawatankuasa Fatwa Selangor.Sementara itu, Che Khalib berkata pihaknya teruja kerana dapat menjadi rakan kongsi bagi projek berkenaan dan berharap lebih banyak peluang dapat diberikan.“Ia bagi membolehkan kami berkongsi teknologi aplikasi membran seperti membran reaktor bio dan osmosi berbalik serta kepakaran rawatan air yang lain kerana ia menyumbang kepada pemuliharaan ekosistem menerusi pengurusan sumber air lestari.“Kami berharap lebih banyak syarikat mencontohi langkah Ayamas terhadap alam sekitar dan menerima inisiatif hijau dalam operasi perniagaan mereka,” katanya.