KUALA LUMPUR: Program Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bakal dijadikan modul untuk kerajaan mengatur pelbagai aktiviti membantu golongan gelandangan, pihak terabai dan mereka yang terjebak gejala songsang.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata program dijalankan JAWI adalah baik untuk diikuti, justeru pihaknya berhasrat memperluaskan aktiviti sedemikian ke seluruh negara.“Kita tidak mahu golongan berkenaan terus tersisih. Kita perlu menyantuni golongan itu dengan kasih sayang agar mereka mampu berubah ke tahap lebih baik.

“Program Jelajah Rahmah dijalankan JAWI ialah antara program baik bagi membantu golongan sebegini, dan baik untuk diluaskan ke seluruh negara walaupun kita sedar jabatan agama negeri lain ada program tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di Anjung Singgah, malam ini.Terdahulu, beliau turut mengagihkan makanan sumbangan pelbagai badan korporat dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), kepada 200 orang gelandangan di situ.Yang turut hadir, Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Mujahid berkata, Program Jelajah Rahmah anjuran JAWI adalah salah satu matlamat dalam konsep ‘rahmatan lil alamin’ diterapkannya.“Kita menolak segala kebencian. Sebaliknya, kita santuni mereka melalui pendekatan mesra, prihatin dan kasih sayang,” katanya.Beliau berkata, ketua imam masjid di seluruh Kuala Lumpur akan turut bertindak sebagai pemimpin untuk membantu golongan sedemikian berubah.“Selain pelbagai program diaturkan di masjid, ketua imam ini akan keluar mencari dan membantu golongan gelandangan, terbiar dan mereka yang terjebak aktiviti songsang,” katanya.