PETRA JAYA: Isu sekolah daif di negeri ini menjadi topik perbincangan utama antara Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, di sini, hari ini.Maszlee berkata, isu sekolah daif sentiasa diberi perhatian berikutan banyak rungutan diterima khususnya daripada kerajaan negeri yang mahukan Kerajaan Persekutuan memberi perhatian terhadap masalah berkenaan.“Ya, sudah tentu isu itu menjadi agenda perbincangan kami dalam kunjungan hormat saya terhadap Ketua Menteri hari ini.

“Pada pertemuan itu, saya turut menjelaskan bahawa Kementerian tidak menghentikan bekalan diesel untuk 21 sekolah di luar bandar Sarawak (seperti yang dilaporkan sebelum ini), sebaliknya saya memberi jaminan bekalan diesel untuk generator bagi membekalkan elektrik ke semua sekolah terbabit akan diteruskan,” katanya.Maszlee berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.Selain dua isu utama itu, Maszlee berkata, mereka turut berbincang mengenai galakan untuk lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di Sarawak.“Bagi memudahkan kemasukan pelajar antarabangsa ke Sarawak, beberapa urusan Imigresen akan dipermudahkan bersama kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong berkata, peruntukan sebanyak RM100 juta untuk melaksanakan projek menaik taraf 33 sekolah daif di Sarawak sudah diserahkan Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).“Projek menaik taraf 33 sekolah itu dengan teknologi sistem bangunan berindustri (IBS) kini boleh dilaksanakan bila-bila masa kerana wang sudah diserahkan kepada JKR.“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutamanya kepada Menteri Pendidikan (Maszlee) kerana menyalurkan peruntukan itu,” katanya.