Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

BERMULA 1 Februari lalu, semua stesen minyak mula membekal diesel B10 iaitu adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum.Adunan menggunakan 534,000 tan biodiesel sawit itu penting bagi mengurangkan pelepasan 1.6 juta tan karbon dioksida, setara penjimatan pelepasan ekzos 100,000 kenderaan diesel setahun.Penggunaan secara mandatori biodiesel sawit bagi sektor pengangkutan bermula 2011 dengan program B5 (adunan lima peratus biodiesel sawit dan diesel) secara berperingkat di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, sebelum diperluas ke seluruh negara dengan peningkatan adunan kepada tujuh peratus atau B7 pada 2014, tanpa sebarang masalah teknikal.

Sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, penekanan khusus Malaysia diberikan kepada pengeluaran biodiesel sawit, selain penggunaan utama sebagai sumber makanan untuk jutaan penduduk dunia.Pada peringkat global, penggunaan biodiesel sebagai bahan api dilaksanakan di Indonesia, Colombia, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, yang memanfaatkan penggunaan biodiesel dihasilkan daripada sumber minyak sayuran termasuk minyak sawit, kacang soya dan biji sesawi.

Potensi strategik minyak sawit

Di Malaysia, kajian penggunaannya sebagai bahan api kenderaan dimulakan sejak 1982, membabitkan kenderaan pengangkutan seperti bas dan teksi, dipelopori Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM).Kerjasama penyelidikan dengan Mercedes-Benz membabitkan 36 bas komersial menggunakan biodiesel sawit tulen (B100), B50 (adunan 50 peratus biodiesel sawit dengan diesel) dan B0 (diesel), membuktikan kesesuaian penggunaannya.Kajian penggunaan bahan itu sebahagian strategi kerajaan mempelbagai penggunaan minyak sawit, khususnya dalam sektor bukan makanan.Penubuhan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengambil alih peranan PORIM pada 2000, meningkatkan kemajuan penyelidikan biodiesel, termasuk pembangunan teknologi pengeluaran biodiesel sawit suhu khusus bagi kegunaan di negara bermusim sejuk.

Teknologi pengeluaran biodiesel MPOB menepati piawaian Malaysia MS2008:2014 dan piawaian Eropah EN14214:2012. Lebih membanggakan, teknologi pengeluaran biodiesel dibangunkan penyelidik MPOB menghasilkan produk bernilai tinggi seperti karotena dan vitamin E, sebelum proses akhir pengeluaran biodiesel.Teknologi pengeluaran biodiesel MPOB dikomersialkan dengan pembinaan kilang dalam dan luar negara. Kini, sembilan loji biodiesel sawit bergred normal dan tiga loji biodiesel sawit gred musim sejuk dibangunkan menggunakan teknologi dan kepakaran MPOB, termasuk di Korea Selatan, Thailand dan Colombia.Pelaksanaan program B10 meningkatkan penggunaan minyak sawit sebagai sumber pengeluaran biodiesel. Ini langkah strategik merangsang peningkatan harga minyak sawit yang mengalami kejatuhan kesan kelembapan pasaran minyak sayuran dunia dan peningkatan paras stok dalam negara.

Indonesia melaksanakan adunan biodiesel sawit 20 peratus sejak 2016 bagi kegunaan sektor pengangkutan. Colombia dan Argentina turut mengembangkan agenda biodiesel melalui penggunaan B10 atau lebih tinggi.

Jaminan kesesuaian enjin kereta

Dalam menyokong inisiatif kerajaan meningkatkan kadar adunan biodiesel sawit kepada 20 peratus menjelang 2020, komitmen syarikat petroleum, pemain dalam sektor automotif, pengeluar kenderaan dan pengeluar peralatan asal (OEM) amat perlu.Daripada aspek teknikal, penyelidikan MPOB dan kerjasama dengan Persatuan Pengeluar Kenderaan Jepun memperakui kesesuaian penggunaan adunan B10 hingga 20 peratus bagi kenderaan enjin diesel Euro 4/IV ke bawah. Sebahagian besar pengeluar kereta memberi jaminan enjin bagi penggunaan B10.Penggunaan secara percubaan biodiesel B10 membabitkan pelbagai model kenderaan enjin diesel dan jarak perjalanan yang mencapai jutaan kilometer. Ini termasuk Ekspedisi Trans-Borneo dari Belaga di Sarawak merentasi banjaran Crocker ke Kundasang, Sabah pada 2017.

Terbukti penggunaan Biodiesel B10 tidak menjejaskan prestasi enjin kenderaan semasa pendakian dan enjin dapat dihidupkan selepas bermalam di Kundasang yang mencatat suhu sejuk 15 dar-jah Celsius.Kejayaan penyelidikan MPOB menerajui penggunaan biodiesel sawit bagi sektor pengangkutan menjadi inspirasi ke arah penerokaan penggunaannya bagi pesawat udara untuk persekitaran udara lebih bersih.Bagi agensi kerajaan dan swasta, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara terawal menggunakan biodiesel sawit bermula dengan adunan lima peratus dan ditingkatkan kepada 10 peratus. Ia selari matlamat menjadikan Kuala Lumpur bandar raya hijau.Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) pula agensi pertama menggunakan adunan B20 bagi pelbagai jenis kenderaan enjin diesel.Penulis merupakan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).